Hannah Delisha Jawab Tuduhan Mula Letak Harga Tinggi


Pelakon baharu Hannah Delisha menganggap tuduhan dia dan pengurusannya meletakkan harga tinggi bagi membintangi sebuah drama adalah tidak berasas.

Hannah, 22, berkata, pihak pengurusannya sudah menyelesaikan perkara berkenaan dengan produksi drama tersebut.

“Ia hanya gosip dan tidak wujud pun masalah yang ditimbulkan itu kerana kami masih bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk beberapa projek lain.

“Pengurusan saya juga sudah bertanya dengan pihak terbabit dan mereka juga tidak tahu dari mana datangnya kenyataan itu,” ujarnya.

Pelakon Mencintaimu Mr Photographer itu mengulas laporan ruangan pojok bahawa dia meletakkan harga tinggi untuk drama terbitan MIG Production.

Pelakon tersebut kononnya terlalu berkira dan melupakan jasa MIG yang mengangkat namanya dalam industri menerusi drama berkenaan.


Hannah Delisha

Hannah ditemui pada pelancaran drama mini Tiga Gadis Manis musim 2 di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Hannah menganggap perkara tersebut sekadar gosip biasa yang harus dihadapi sebagai seorang selebriti.





Tiada Masalah Permit

Sementara itu, aktres kelahiran Singapura ini berkata, dia tiada masalah dengan hal dokumentasi sepanjang bekerja di negara ini.

“Saya menganggap ia perkara utama untuk membina kerjaya di sini. Selama ini juga tiada masalah kerana pihak pengurusan sudah membuat permit kerja untuk setahun.

“Lagi pula saya terikat dengan kontrak sebagai duta telefon Huawei di sini,” ujarnya.

Dia mengulas tentang rakan seperjuangannya Nadiyah Shahab yang dilaporkan dihalang memasuki Malaysia pada malam Ahad lalu berikutan gagal menunjukkan permit kerja ketika melalui imigresen Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post