Pelakon dan juga pelumba kereta profesional, Faye Kusairi, memberitahu dia terpaksa membuat laporan polis selepas seorang individu menaik gambar bahagian depan rumahnya tanpa kebenaran.
Menurut Faye, dia tidak mengetahui niat sebenar individu tersebut dan membuat keputusan laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan keluarga.
"Saya tak pasti dia sendiri yang datang depan rumah ambil gambar atau ada orang yang hantar gambar rumah kepada dia," ujarnya.
Enggan mendedahkan identiti individu terbabit, pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 31, berkata, dia membuat laporan bukan untuk memprovokasi individu berkenaan, sebaliknya bagi mengelakkan perkara sama berulang.
"Sebelum buat laporan polis itu pun saya minta khidmat nasihat rakan yang bekerja sebagai seorang polis.
"Dia kata macam mencurigakan sebab macam psiko ambil gambar rumah orang lain dan muat naik ke Internet tanpa sebab yang jelas dan tak tahu motif dia.
"Jadi demi keselamatan saya dan keluarga, lebih-lebih lagi saya yang bakal ada anak kecil, saya buatlah laporan.
"Harapan saya perkara ini tidak berulang dan orang lain juga tahu bahawa tindakan sebegitu tidak betul," jelas isteri kepada pengarah Azmi Hatta ini.