Peserta dari Selangor, Fadhli Hariz Fayahet, 25, muncul sebagai juara pertandingan akhir Bintang RTM 2018 (BRTM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.
Dengan kemenangan tersebut melayakkan Hariz membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan trofi.
Pada peringkat akhir itu, menyaksikan Hariz berduet bersama Mel Sakura menyanyikan lagu Fantasy vs Polaroid secara battle dan mash up.
Hariz kemudian menyampaikan lagu baharu ciptaan Manusia Putih Yang Terbaik, diikuti pusingan battle dan melayakkannya memenangi Vokal Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.
Tempat kedua dimenangi oleh Heidi Vanessa Moruning dan melayakkan peserta berusia 24 tahun dari Sabah itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil berserta trofi.
Manakala Muhammad Hafiz Zainal, 26, memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM10,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil berserta trofi.
Anak kelahiran Johor Bharu ini juga turut dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.
Manakala tiga peserta lain iaitu Ferona Paimin, 22, Muhammad Yasser Sharifudin, 22, dan Nur Jannah Abu Hanipah, 20, terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM1,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil berserta trofi.
Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta BRTM 2016 diberikan tiga tugasan iaitu menyanyikan lagu secara battle dan mash up bersama vokalis band terkenal, menyampaikan sebuah lagu baharu yang digubah komposer terkenal dan pusingan battle antara peserta lelaki dan perempuan.
Persembahan akhir Bintang RTM 2018 diadili sepenuhnya oleh Adibah Noor, Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat.
Program Bintang RTM 2018 dikendalikan oleh Aqasha dan Misha Omar, turut disiarkan secara siaran tertunda menerusi TV2 bermula jam 10.30 malam.
Bagaimanapun program berkenaan terlebih dahulu dimulakan pada jam 8.35 malam dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live RTM.
Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Awie, Ella, Sufian Suhaimi.
Manakala Is (Projektor Band), Arul (Sevendays), Ameer (Sofazr), Mel (Sakura Band), Neeta (IamNeeta) dan Aepul (Drama Band) sebagai artis undangan yang berduet bersama peserta akhir.