Heroin drama Mr Grey, Eyra Hazali, 19, mengakui dia terkejut apabila mengetahui heronya, Fendy Bakry, 30, sebenarnya sakit.
Eyra dimaklumkan oleh salah seorang saudaranya selepas berita Fendy sakit dilaporkan media.
“Sebaik tahu Fendy sakit, saya akui rasa sedih juga kerana dia tidak dapat mengikuti aktiviti promosi drama lakonan kami.
“Patutlah, sejak daripada promosi awal drama ini lagi memang Fendy tidak pernah sertai walau sekali pun.
“Saya ada juga berasa pelik kenapa setiap kali aktiviti promosi hanya membabitkan saya seorang manakala Fendy pula tidak hadir,” katanya.
Menurut Eyra, drama Mr Grey adalah gandingan mereka berdua sebagai teraju utama dan penonton mahu pun peminat semestinya ingin juga bertemu dengan Fendy.
Pemilik nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali ini memberitahu apa pun dia mengharapkan Fendy sembuh daripada peyakit dihidapinya.
“Sepanjang penggambaran drama Mr Grey, saya memang tidak nampak Fendy macam orang yang kurang sihat dan sakit.
“Dia sentiasa ceria di set penggambaran dan sentiasa ingatkan saya mahu pun ibu supaya jaga kesihatan kami.
“Apapun, saya tidak nafikan Fendy ada juga mengadu dia penat. Tetapi, hanya itu saja dan tak sangka pula dia ada sakit,” katanya.
Ujar Eyra, kepada semua penonton dan peminat drama Mr Grey, jangan lupa mendoakan yang baik-baik buat Fendy.
“Semoga Fendy kembali sembuh. Saya percaya dia seorang yang kuat berjuang kerana bakat lakonannya diperlukan dalam industri.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton dan peminat yang menyokong gandingan kami berdua untuk drama Mr Grey ini,” katanya.
Eyra berkata kali terakhir dia bertemu Fendy ketika hadir ke Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) pada 8 April lalu dan mereka juga jalan bersama di permaidani merah.
Drama Mr Grey arahan Riza Baharudin, turut dibintangi pelakon lain seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, Lisdawati, Gambit Saifullah, Mardiana Alwi, Kayda Roslan dan ramai lagi.
Menerusi drama Mr Grey juga nama dan bakat lakonan Eyra melonjak sekelip mata lebih-lebih lagi dengan loghat Utara yang dituturkannya.