Penyanyi, Alina Hassan, 50, membuka mulut mengenai apa yang bermain di fikirannya yang mengganggu persiapannya menuju ke pentas akhir Mentor Otai yang akan berlangsung Ahad ini.
Selepas diminta mengulas lanjut, Alina, 50 mengakui isu tempat tinggal membuatkannya risau dan tidak fokus.
“Saya tidak mahu berkongsi mengenainya tetapi disebabkan ramai bertanya, saya akui isu tempat tinggal memang mengganggu fikiran saya.
“Itu sebabnya saya tidak fokus minggu lalu. Persembahan tidak memuaskan hati juri dan mentor saya,” katanya.
Tambah protege kepada Siti Sarah itu, fikirannya tertanya-tanya, sekiranya dia terkeluar di separuh akhir, Ahad lalu, ke mana dia harus pergi memandangkan tiada tempat tinggal.
“Buat masa sekarang, saya tinggal di hotel disediakan pihak produksi Mentor Otai. Tapi, kalau saya terkeluar, ke mana saya nak pergi?” soalnya.
Ditanya mengenai bantuan perumahan dijanjikan Persatuan Seniman (Seniman) sebelum ini, Alina berkata, dia masih menanti jawapan.
“Saya masih menantikan jawapan daripada pihak Seniman mengenainya,” katanya.
Di pentas separuh akhir, nama Alina diumumkan sebagai protege gagal melangkah ke peringkat akhir bersama seorang lagi peserta, Lokman.
Namun, tuah memihak kepadanya apabila juri tetap, Edry Abdul Halim dan Mark Adam membuat keputusan memberi peluang kepadanya dan layak ke akhir.
Di peringkat akhir Mentor Otai, Alina akan mempersembahkan satu lagu solo dan satu lagu duet bersama artis jemputan.