Zeera kena pasal Neera Azizi


Kakak kepada pelakon dan penyanyi Neera Azizi iaitu Zeera Azizi terkejut apabila turut terkena tempias selepas video adiknya menyanyi sumbang dalam sebuah program hujung bulan lalu menjadi tular.

Katanya, dia tidak faham tindakan netizen meninggalkan komen tidak berpuas hati dengan nyanyian Neera di Instagram miliknya.

“Dia yang tular tetapi saya juga terkena tempias sekali. Saya pelik dengan netizen yang sanggup mencari Instagram saya dan meninggalkan komen negatif mengenai video berkenaan.

“Tidak hanya menulis komen, ada juga yang ‘direct message’ hanya kerana tidak berpuas hati. Ada juga rakan sekolah yang tiba-tiba bertanyakan perkara itu sedangkan kami sudah lama tidak berhubung,” kata Zeera yang bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan kerjasama dua negara.





Sebelum ini, video Neera menyanyikan lagu baharunya berjudul Rasa Hati dalam sebuah program televisyen dikecam teruk kerana dikatakan sumbang.

Isu itu kemudian secara tidak langsung memberi impak kepada Zeera kerana jumlah pengikutnya di Instagram semakin bertambah.

Umum juga mula menyedari bahawa pemilik nama sebenar Nurazeera itu turut menceburi bidang nyanyian dan tampil dengan lagu pertama berjudul Kehilangan.

“Saya akui memang ada penambahan jumlah pengikut di Instagram tetapi saya ingin tegaskan bahawa saya tidak mengambil kesempatan atas isu itu untuk naikkan karier sendiri.

“Saya harus membiasakan diri dengan situasi seperti ini. Mungkin apabila ada perkara yang membabitkan saya, umum akan ‘serang’ Instagram Neera pula,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post