Kerap dikaitkan dengan ramai lelaki, penyanyi popular, Wany Hasrita mengakui kurang selesa.
Secara tidak langsung, katanya, situasi tersebut mencemarkan imejnya sebagai wanita berhijab.
“Saya sebenarnya tak selesa dikaitkan dengan ramai lelaki.
“Ia nampak tak berapa elok,” katanya.
Terdahulu. pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini digosipkan bercinta dengan Tajul dan Khai Bahar serta terbaru, bekas vokalis Q-Face, Fairuz Selamat.
“Apa yang saya lihat, bila saya ambil gambar berdua, ada saja yang nak kaitkan sedangkan mereka adalah rakan-rakan artis.
“Saya juga meminati mereka sebagai seorang peminat. Walaupun saya artis, saya juga meminati artis lain. Tapi, itulah saya pun hairan dan tak tau nak cakap macam mana,” katanya.
Ditanya adakah situasi berkenaan disebabkan perwatakannya yang ceria dan peramah, Wany hanya mampu tertawa.
“Mungkinlah kot. Tapi, memang itulah sikap sebenar saya. Saya pun tak tahu.
“Kadang-kadang, perkara ini agak membebankan saya,” katanya.
Pada masa sama, pelantun lagu Menahan Rindu ini mengakui fokus utamanya adalah kerjaya seni yang semakin berkembang.
“Saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada kerjaya seni. Lagipun, karier saya sedang naik dan saya pun menanggung keluarga.
“Semua orang pun tahu, artis ini bermusim. Mungkin, bila tak diingati lagi, selepas itu saya akan fikirkan soal cinta.
“Tapi, sekiranya jodoh datang dalam masa terdekat, saya tak akan menolak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wany bakal melancarkan mini album yang memuatkan lima lagu, pada Mac nanti.