Tajul Arif Debaran 29 Mac


Kali pertama berlakon filem dan digandingkan bersama memutikkan pelbagai pengalaman menarik antara dua figura muda ini, Tajul Arif dan Ayunie Harris.

Lebih menyerlah, rasa gementar menantikan maklum balas peminat tatkala filem Enjin No 9 arahan sulung Raja Azmi bakal ditayangkan pada 29 Mac ini.

Bagi Tajul, berlakon bukanlah ‘makanan’ dan percubaan untuk berlakon sekadar untuk mengisi ‘portfolio’ selaku anak seni.

“Tipulah kalau tidak berdebar menantikan respons peminat dan penonton nanti. Saya bukannya pelakon dan ia bukan perkara semudah menyanyi.

“Kalau menyanyi, habis saja persembahan terus boleh balik tanpa menunggu lama. Berbeza dengan lakonan, bukan saja perlu hafal skrip dan melakonkannya, malah terpaksa menunggu lama untuk babak seterusnya,” katanya.

Pun begitu, dia tidak menolak kemungkinan untuk terus mencuba lagi pada masa depan.

Bercakap mengenai pasangan pelakonnya, Tajul akui selesa dengan Ayunie yang dianggap merendah diri dan mudah bekerjasama.

Apatah lagi, Enjin No 9 ini juga adalah filem pertama mereka sebagai pelakon.

“Ayunie seorang yang mudah bekerjasama dan dia juga tidak lokek berkongsi ilmu. Dia juga belajar ilmu lakonan di universiti.

“Pelakon lain juga banyak membantu terutama Kazar, Kak Cik (Datin Fadilah Mansor) dan Shahira (Sharifah Shahira) yang turut berlakon dalam filem ini,” katanya.





Dalam pada itu, Ayunie yang dikenali sebagai model sebelum ini mengakui turut berdebar.

Pelajar jurusan Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya ini bersyukur filem pertama lakonannya itu akhirnya akan ditayangkan.

“Paling saya takut adalah komen daripada penonton nanti. Pun begitu saya bersyukur mendapat banyak sokongan daripada keluarga, pensyarah dan rakan yang sering mengikuti perkembangan saya.

“Saya bimbang apabila tidak dapat menyampaikan watak dengan baik tapi insya-Allah, saya sudah buat yang terbaik dan beri 100 peratus komitmen dengan bantuan pengarah yang membantu menghilangkan rasa gementar di set penggambaran,” katanya.

Gadis berasal dari Kota Bharu ini berkata, pada awalnya dia tidak yakin dapat memberikan persembahan lakonan terbaik.

Apatah lagi, dia digandingkan bersama pelakon yang cukup hebat seperti Kazar, Fadilah Mansor dan Sharifah Shahira.

Akan tetapi, mereka juga banyak membantunya membina karakter sebagai Nora.

Ayunie menganggap pengalaman dilalui sebagai satu rezeki kerana dipermudahkan untuk masuk ke dalam industri hiburan.

“Sejak kanak-kanak, saya sudah simpan impian untuk terbabit dalam bidang seni dan selalu berangan-angan. Tidak sangka kini ia benar-benar berlaku.

“Tidak dinafikan, saya pernah mendapat tawaran berlakon ketika masih belajar di peringkat diploma, cuma ketika itu waktu penggambaran bertembung dengan jadual kelas sehingga terpaksa menolaknya,” katanya.

Jauh di sudut hati, dia percaya jika ada rezeki ia tidak akan ke mana dan tampaknya, doa itu dimakbulkan melalui filem ini.

Selesa dengan Tajul

Kisah hubungan mesra mereka pernah dilaporkan dalam ruangan Cik Pang, Metro Ahad, minggu lalu.

Ditanya mengenai kesahihan gosip itu, mereka hanya ketawa.

“Kami hanya berkawan. Mungkin sebab dalam cerita ini kami diberi watak sebagai suami isteri dan perlu mendapatkan keserasian, maka kami seolah-olah mesra di luar set.

“Apatah lagi, Raja Azmi ada mencadangkan supaya kami selalu luangkan masa bersama,” kata mereka.

Ayunie pula akui selesa berkawan dengan Tajul yang disifatkan sebagai seorang jejaka yang peramah dan pendai mengambil hati.

Malah, mereka juga gemar berkongsi cerita mengenai aktiviti seni masing-masing.

Kata Ayunie, dia tidak menyangka penyanyi remaja itu jauh lebih muda kerana selama berkawan, penyanyi itu sering menunjukkan sifat matang dan menyenangkan.

Malah, Tajul juga disifatkan sebagai seorang jejaka yang mengambil berat hal rakan sekerjanya.

“Mungkin sebab itulah saya selesa dengan Tajul. Bagi saya gosip kami bercinta tidak sama sekali beri kesan kepada permulaan kerjaya kami dalam bidang lakonan.

“Kami hanya selesa berkawan dan saya selesa bekerja dengan dia. Andai diberi peluang bergandingan sekali lagi, saya pasti terima,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post