Siti Saerah Mahu jadi wanita terbahagia


Selepas bercerai lima tahun lalu, penyanyi Siti Saerah yang juga adik kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Mohd Sharidan Johari, 31, pada 24 Februari lalu.

Siti Saerah, 34, berkata kegagalan perkahwinan pertama bukan penamat untuk mencari kebahagiaan kerana percaya jodoh dan pertemuan sudah ditetapkan Allah.

Malah, Saerah juga ingin menjadi wanita terbahagia seperti kebanyakan pasangan suami isteri lain yang melayari bahtera rumah tangga dengan limpahan kasih sayang.

“Banyak saya belajar daripada perkahwinan terdahulu. Saya tidak mahu menjadikan apa yang pernah berlaku dalam hidup sebagai satu penyesalan.

“Tidak adil jika menjadikan perceraian sebagai alasan untuk saya bersedih sekali gus enggan berganjak daripada kisah duka. Jadi, apabila ambil keputusan untuk berkahwin sekali lagi, saya anggap ini jodoh.

“Sama macam orang lain, saya berharap perkahwinan kedua ini diberikan kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke jannah.

“Saya juga berdoa agar perjalanan rumah tangga kali ini dipermudahkan dan mendapat keberkatan Allah,” katanya.

Saerah yang juga ibu kepada tiga anak akui kembali menggalas tugas sebagai isteri bukan tanggungjawab mudah.

Pengalaman terdahulu dijadikan kayu ukur untuk Saerah menjadi insan lebih baik agar perkahwinan kali ini berlangsung dengan penuh harmoni.

“Apabila ingin berkahwin, ia bererti saya sudah bersedia mengharungi cabaran alam berumah tangga. Cuma, sudah semestinya untuk kali ini saya mengharapkan ia jadi lebih baik daripada yang sebelumnya.

“Saya cuba perbaiki diri sebagai isteri dan ibu. Malah, saya dan suami akan menjaga ikatan ini hingga ke akhir nyawa, insya-Allah.

“Orang kata, mulakan hidup dan buka buku baru dalam rumah tangga. Terima kasih kepada ibu, keluarga dan rakan atas sokongan serta doa,” katanya.






Terdahulu, Saerah dan Sharidan sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dengan bersaksikan keluarga dan rakan terdekat.

Ia disusuli dengan majlis persandingan yang menyaksikan kehadiran keluarga, rakan artis dan peminat.

“Alhamdulillah, kedua-dua majlis berlangsung dengan jayanya dan sempurna.

“Jemputan pula terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat sahaja. Pendek kata, majlis saya serba sederhana.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian,” katanya.

Rancang bulan madu dan anak

Ditanya mengenai bulan madu dan anak, Saerah yang pernah muncul dengan lagu Hero Wayang belum mempunyai sebarang perancangan.

“Untuk bulan madu, saya dan suami belum ada perancangan lagi. Soal anak pula, saya menyerahkannya kepada rezeki. Namun, buat masa sekarang saya ingin fokus kepada kerjaya nyanyian.

“Apapun, saya tidak menolak jika dikurniakan anak dalam tempoh terdekat ini. Saya anggap ia rezeki. Siapa yang tidak seronok jika dikurniakan cahaya mata,” katanya yang kini muncul dengan single Hanya Restu.

Berkongsi mengenai suaminya, Saerah berkata, mereka sudah berkenalan pada 2009 dan mula serius sejak dua tahun lalu.

“Kami jumpa semula dua tahun lalu. Dia masih bujang dan bekerja di sektor kerajaan di Muar, Johor.

“Dia tahu status saya sebagai ibu tunggal. Pada awalnya risau juga nak berkawan kerana takut dia tidak boleh terima anak-anak saya.

“Sebaliknya, dia mudah mesra dan anak pun rapat dengan dia. Bagi saya, apa yang penting dia boleh terima saya dan anak,” katanya.

Tiga anak Saerah ialah Ummi Umairah, 7, Ahmad Daiyan, 6, dan Ahmad Aisy, 5.

Post a Comment

Previous Post Next Post