Pelakon Ruzana Ibrahim, 34, selamat bergelar isteri kepada pasangannya, M. Fadhil Zakaria, 36, dengan hanya sekali lafaz kira-kira pukul 10.45 pagi, Sabtu.
Majlis pernikahan pasangan ini diadakan di Garden Rooftop, Sunway Nexis, Kota Damansara dengan disaksikan keluarga dan rakan terdekat kedua-dua pihak.
Ruzana yang anggun dalam persalinan putih menerima mas kahwin berjumlah RM300 beserta sebentuk cincin daripada pengantin lelaki. Sementara jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Dikenali sebagai seorang yang low profile, pelakon Isteri Tuan Ihsan ini memilih untuk diraikan dalam majlis yang cukup sederhana namun bermakna buatnya dan pasangan.
Resepsi pasangan yang bertemakan perkahwinan dalam taman ini berlangsung sejurus selepas selesai majlis ijab kabul di lokasi yang sama.
Ruzana dan suami yang bekerja dalam bidang minyak dan gas ini telah saling mengenali selama lebih setahun sebelum sepakat untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Antara rakan artis yang turut hadir meraikan pasangan ini ialah Nadia Aqilah, Ira Mohd Amin, Nadiya Nisaa, Sharifah Amani, Safia Hanifah, Pat Ibrahim, Sazzy Falak, Fitry Hiswady dan lain-lain.