Rozita Che Wan tak suka wanita perampas


Ada satu hal tentang poligami yang sedikit menjentik jiwa Rozita Che Wan sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga anak.

Biarpun tidak menolak hukum bahawa lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu, namun menurut pelakon berusia 45 tahun itu, seseorang wanita perlu lebih berhati-hati dalam bercinta dan tidak sewenang-wenangnya menghancurkan mahligai yang sedang dibina oleh wanita lain untuk kepentingan sendiri.

“Saya tidak tolak poligami, apatah lagi menafikan hukum agama. Namun, saya tidak suka melihat wanita mengambil suami orang lain.

“Jika lelaki mahu berkahwin lain, itu hak mereka tetapi seorang wanita itu boleh mengelak daripada merampas suami orang dengan memilih untuk bercinta dengan lelaki bujang,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta projek perumahan Tunas Homes & Tunas Boulevard di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon yang popular dengan drama komedi Kiah Pekasam itu bagaimanapun menetapkan pendirian, wanita yang dimadukan tanpa rela perlu meneruskan kehidupan tanpa menghiraukan apa yang telah terjadi pada masa lampau.

“Jika kita reda dengan ketentuan dan ujian Tuhan, berhentilah menangis untuk lelaki yang tinggalkan kita.

“Ada sebab mengapa Allah menjauhkan orang sebegitu daripada kita. Hal ini kerana, Dia mahu kita mendapatkan perkara yang lebih baik untuk masa depan,” katanya.

Meletakkan pengalamannya sebagai contoh terdekat, Rozita yang diceraikan menerusi perkahwinan pertama bersama bekas suami, Azuar Effendy Zulkaply pada 2003 sentiasa positif dengan suratan takdir yang telah tertulis buatnya.





“Ketika saya diceraikan, saya hanya ada dua orang anak. Selama 10 tahun saya duduk di rumah dan tidak berbuat apa-apa. Namun, saya tidak mengeluh kerana tahu Allah ada di sisi.

“Dugaan seperti itu yang membuatkan saya menjadi individu lebih kuat untuk terus mengharungi hidup,” katanya yang kini bahagia dengan perkahwinan kedua bersama pelakon Zain Saidin.

Sedar isu merampas suami orang banyak terjadi dalam kalangan artis, Rozita berkata, dia menyedari bahawa perkara tersebut mungkin boleh berlaku ke atas dirinya.

Ditanya apakah yang akan dilakukan jika ada wanita cuba merampas suaminya, ini jawapan Rozita: “Sebelum dia rampas, saya koyakkan mulut dia dulu.”

Bercakap tentang sikap romantis suaminya, Rozita sempat berkongsi bahawa Zain seorang yang pandai mengambil hati. Sempena ulang tahunnya pada 9 Mac lalu, pelakon Oh My English! itu ada menghadiahkan tas tangan jenama Dior kepadanya.

“Macam biasalah, Zain akan hadiahkan beg jenama kegemaran saya iaitu Dior.

“Selain itu, Zain turut membenarkan saya pergi bercuti ke London, England bersama-sama keluarga memandangkan dia sibuk menguruskan perniagaan di China,” katanya.

Wanita yang mesra dibahasakan Che Ta itu memberitahu, London bukanlah lokasi asal seperti yang dirancang sebelum ini.

Katanya, dia memilih Hong Kong dan Macau sebagai destinasi percutian.

Namun, ahli keluarganya kurang bersetuju kerana sukar untuk mendapatkan makanan halal di dua lokasi tersebut.

“Sengaja saya memilih Hong Kong dan Macau kerana Zain boleh singgah sebentar untuk makan malam.

“Namun, disebabkan adik-beradik yang lain kurang bersetuju, saya memilih London sebagai destinasi percutian sempena hari lahir,” katanya jujur.

Gambar

Sepanjang mengenali Rozita, pelakon tinggi lampai itu begitu terkenal sebagai wanita yang mementingkan gaya.

Lihat sahaja penampilannya jika diundang ke majlis anugerah atau sebarang acara hiburan, dia pasti tidak akan kalah dengan helaian mewah rekaan pereka tempatan, lengkap dengan aksesori sarat.

Tidak hanya ke acara karpet merah, gaya ibu kepada Aaisya Dhia Rana itu tidak kalah saat bercuti ke luar negara. Selain melaram dengan baju yang sedondon dengan tas tangan, Rozita juga turut membawa jurugambar peribadi khas bagi merakam gambarnya untuk dimuat naik ke Instagram.

Mengajukan soalan mengenai gambar-gambar yang dikongsikan dengan peminat, Rozita berkata, dia memiliki koleksi gambar dalam cakera padat (CD) yang banyak di rumah.

Koleksi CD berisi gambar percutiannya dilabel dengan destinasi agar mudah untuk dicari jika diperlukan.

“Sama seperti kita menyusun gambar dalam album suatu ketika dahulu, saya melakukan perkara sama terhadap CD yang telah diisi dengan gambar-gambar percutian.

“Senang mahu cari gambar nanti. Manalah tahu jika Instagram sudah tiada pada masa akan datang,” ujar Rozita berseloroh.

Masih dalam subjek hobi melaram, Rozita juga mengulas mengenai teguran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ashraf Wajdi mengenai trend menjadikan Mekah sebagai lokasi berfesyen, khususnya bagi kalangan selebriti tempatan.

Menurut Rozita, dia cuba menjadi dirinya dan tidak pernah berniat untuk bergaya atau bergambar secara berlebihan setiap kali menunaikan umrah.

“Sebenarnya, saya tidak rasakan gaya saya di Mekah sebagai melampau. Ketika berada di sana, saya tidak bersolek dan hanya mengenakan purdah. Kemudian, saya juga tidak bergambar terlalu banyak.

“Di mana pun saya berada, saya cuba menjadi diri sendiri. Baik di Kuala Lumpur, Mekah mahupun London, saya masih Rozita Che Wan yang sama,” katanya yang tidak terkilan dengan teguran tersebut.

Duta

Beralih mengenai pelantikannya sebagai duta projek perumahan Tunas Homes & Tunas Boulevard, Rozita meluahkan kesyukuran kerana sentiasa dimurahkan rezeki, walaupun lebih banyak selebriti muda yang dirasakan layak untuk bergelar jurucakap produk atau wajah kempen.

“Alhamdulillah, syukur. Biarpun tidak banyak berlakon dan jarang muncul di televisyen, saya tetap menerima tawaran untuk bergelar duta.

“Mungkin juga disebabkan orang selesa bekerja dengan saya, jadi saya sentiasa menerima tawaran bergelar duta,” katanya sambil tersenyum.

Terlanjur bicara mengenai lakonan, Rozita mengakui masih menerima tawaran untuk berlakon. Cuma, masa yang diperuntukkan bercanggah dengan jadual kerjayanya sebagai usahawan.

“Jadual yang diberikan kadang-kadang tidak sesuai dengan saya. Tambahan pula, watak yang diterima kurang sesuai.

“Jadi, buat masa ini, saya lebih selesa untuk fokus kepada bidang perniagaan,” tutup Rozita.

Post a Comment

Previous Post Next Post