“Kami tidak ada hubungan istimewa tetapi saya selesa mengenali dirinya,” kata pelakon jelita, Puteri Aishah yang menafikan dia menjalin hubungan cinta dengan Pengerusi Eksekutif Naza World Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.
Puteri Aishah, 23, berkata, dia dan Faisal juga jarang bertemu kerana sibuk dengan komitmen kerja masing-masing.
“Kami hanya berkawan dan tidak lebih daripada itu. Kami juga jarang berjumpa kerana saya sibuk dengan penggambaran drama manakala Faisal pula selalu bekerja di luar kawasan.
“Namun apabila ada masa terluang, kami akan bertemu dan berbual hal kerja masing-masing,” katanya.
Menurut Puteri, tidak ada yang perlu disorokkan mengenai hubungan itu memandangkan mereka hanya kawan biasa.
“Tidak ada apa nak disorokkan. Setiap gambar atau video yang dimuat naik hanya atas dasar kawan.
“Sebab itulah kami berani memuat naik gambar dan video keluar bersama,” katanya.
Terdahulu, video dan gambar dimuat naik Faisal di laman sosial menjadi bualan dan perhatian banyak pihak hingga menimbulkan spekulasi mereka menjalin hubungan cinta.
Sebelum ini Faisal pernah berkahwin dengan Emilia Hanafi pada 2002. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2016.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak lelaki.