Penghormatan buat Alif Satar


Hasil kerja keras sepanjang berkecimpung selama 12 tahun dalam industri kini membuahkan hasil buat penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar apabila dia kini berjaya memiliki sebuah program bual bicara sendiri iaitu It’s Alif.

Menganggap tawaran mengendalikan rancangan ditambah pula dinamakan dengan nama sendiri, perkara tersebut membuatkan lelaki berusia 28 tahun itu tersenyum lebar dan berpuas hati.

Selama ini, Alif tidak pernah mengimpikan untuk diberikan penghormatan mempunyai program sendiri kerana sudah berasa cukup bersyukur dengan peluang pengacaraan sedia ada. Namun, permintaan pihak ntv7 yang memberikan kepercayaan kepadanya, membuatkan Alif berasa sangat dihargai.

“Ia suatu penghargaan besar buat saya kerana bukan semua orang yang diberikan ruang begini dalam kerjaya. Mendengar tajuk program It’s Alif sahaja sudah membuatkan saya berdiri bulu roma kerana ia menyebut nama saya.

“Ia juga bermakna saya mempunyai tanggungjawab yang lebih berbanding sekadar mengacara kerana saya turut terlibat dengan sebahagian isi kandungan, tetamu undangan dan hala tuju program,” katanya sewaktu ditemui selepas sesi rakaman episod dua program berkenaan di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Menjadikan Datuk Aznil Nawawi dan Awal Ashaari yang pernah mempunyai program sendiri sebagai inspirasi dan panduan, pelantun Sesungguhnya Aku mencuba untuk mewujudkan suasana santai sebagai konsep It’s Alif.





Terbuka

Tambahnya, dia enggan menjadikan setiap episod bertajuk kerana mahu perbualan yang timbul terutama dengan artis jemputan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu isu.

Mahu tetamunya berasa selesa dan tidak terikat dengan topik tertentu, Alif mahu berbicara tentang sisi lain bersama tetamu jemputan di studio kerana berpendapat ia lebih menarik untuk diikuti peminat.

“Saya cuba meletakkan diri sebagai peminat yang mungkin ingin mengenali artis mereka dengan lebih dekat seperti hobi, suka melancong ke mana atau pekerjaan apa yang mungkin mereka buat jika tidak bergelar selebriti.

“Pada saya, hal-hal itu yang membuatkan sesebuah rancangan seronok untuk ditonton. Memandangkan saya berkawan dengan kebanyakan tetamu yang hadir, mungkin mereka akan lebih terbuka berkongsi,” jelasnya.

Meskipun kelihatan semakin sibuk dengan pengacaraan, bapa kepada dua anak perempuan itu masih aktif dalam dunia lakonan dan bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu bertajuk Pengantin Musim Salju pada bulan Ramadan ini.

“Saya memang penat tetapi ini ialah pekerjaan yang saya pilih, tambahan pula saya ada keluarga untuk ditanggung. Selagi saya boleh bekerja, saya akan rebut peluang yang datang kerana ia rezeki anak-anak juga,” jelasnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post