Pendatang Baharu Jangan Nak Diva Tegur Nora Ariffin


Nora menasihati pendatang baharu dalam bidang seni agar sentiasa merendah diri untuk kekal lama dalam persada seni.

Penyanyi Nora Ariffin yang pernah popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema menasihatkan pendatang baharu dalam bidang seni agar tidak bersifat 'diva' atau sombong sekiranya mahu kekal dalam persada seni.

Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 44, yang telah menghasilkan lebih 10 album sejak 1994, turut menasihati penggiat seni muda supaya sentiasa ikhlas dalam berkarya dan merendah diri.

"Penggiat seni terutamanya kalangan orang muda perlu ikhlas berkarya demi mengasah bakat dan menonjolkan kemahiran yang kita ada. Jangan 'bajet' bagus (jangan perasan)," katanya.

Menyentuh mengenai single terbaharunya Ada Dalam Tiada ciptaan Sirkhan dan lirik oleh Habsah Hassan yang khas didedikasi buat arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, katanya ia bakal dilancarkan pada bulan hadapan.






Nora bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

"Kita sedang dalam proses perancangan untuk merakam muzik video bagi lagu ini yang sudah mendapat sambutan daripada peminat dan pihak media,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan.

Lagu Ada Dalam Tiada yang menceritakan perasaannya setelah kehilangan suami tersayang pada tahun lepas itu turut dimuatkan ke dalam album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi yang bakal dilancarkan.

Album tribute itu memuatkan koleksi lagu ciptaan arwah yang dinyanyikan penyanyi terkenal tanah air antaranya oleh Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Siti Nurhaliza.

Pada asalnya ia merupakan perancangan arwah komposer terkenal itu untuk diterbitkan pada tahun lepas, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata beliau bakal dilantik sebagai duta bagi sebuah jenama produk terkenal dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Post a Comment

Previous Post Next Post