Pelaburan imej Nazim Othman


Demi mengekalkan imej dan menjayakan karakter lakonan, pelakon Nazim Othman mengakui sanggup berhabis sehingga puluhan ribu ringgit untuk penampilan diri.

Hal itu dikongsikan Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, 34, ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Mona Lisa di Putrajaya baru-baru ini.
Drama tersebut akan disiarkan hari ini (20 Mac) di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) dari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang.

Kata Nazim, pelakon tidak seharusnya berkira dalam soal wang ringgit kerana ia adalah sebagai salah satu cara untuk menjiwai watak dalam sesebuah naskhah.

KOSMO!: Boleh Nazim ceritakan sedikit peranan dalam drama Mona Lisa?

NAZIM OTHMAN: Dalam drama yang akan bersiaran sebanyak 80 episod itu, saya memegang watak sebagai Johan yang merupakan seorang lelaki biasa tetapi ada kemahuan tinggi dalam hidup.

Untuk itu, dia sanggup buat apa sahaja demi mencapai matlamat. Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Zara Zya dan Hafreez Adam.

Difahamkan, drama berkenaan diadaptasi daripada sebuah drama popular dari Korea Selatan berjudul The Women’s Room. Jadi, adakah anda bersedia dengan perbandingan yang akan dibuat oleh peminat?

Tiada istilah bimbang untuk perkara itu sebab naskhah ini dibuat dalam versi bahasa Melayu. Jadi, tiada masalah untuk saya memikirkan tentang kritikan. Bagi saya, itu semua tidak boleh dielak, jadi kita buat sahajalah kerja seperti biasa.

Anda seakan-akan tidak boleh lari daripada bayangan watak lelaki baik. Begitu juga dalam drama berkenaan. Jadi, apa komen anda?

Saya tidak nafikan perkara itu. Mungkin sejak dahulu, penerbit sering tawarkan saya watak lelaki baik dan berpakaian kemas, jadi ia terus melekat sehingga ke hari ini.

Sejujurnya, saya okey sahaja kalau diberi watak pengemis sekalipun. Cuma tawaran sebegitu tidak selalu datang.

Namun, setiap pelakon perlu ada inisiatif sendiri bagaimana untuk mempelbagaikan karakter biarpun diberi watak sama.

Oleh sebab itu, saya sanggup terbang ke Vietnam untuk menempah pakaian sut sebanyak 13 pasang termasuk pakaian kasual bagi menjayakan watak Johan.





Jumlahnya memakan kos sehingga puluhan ribu ringgit, tetapi sebagai pelakon kita jangan berkira soal duit.

Semua ini juga dilakukan demi kerja dan untuk kelihatan sesuai dengan watak yang dibawa dalam sesebuah naskhah.

Baru-baru ini anda pernah meluahkan perasaan tentang depresi di laman sosial. Boleh jelaskan tentang perkara itu?

Itu semua cuma luahan biasa terhadap isu yang sebenarnya sangat berbahaya kepada manusia. Saya akui dahulu saya merupakan seorang yang cepat marah dan mudah melenting.

Pantang silap sikit, saya akan marah tetapi seiring dengan peningkatan usia, saya kini lebih bijak mengawal emosi dan berdiplomasi dalam mencari penyelesaian.

Perubahan itu berlaku selepas saya diuji dengan kesakitan yang dialami beberapa tahun lalu dan bersyukur kerana pengalaman tersebut memberi banyak kesedaran.

Sebenarnya, perkara ini juga menjadi salah satu sebab kepada kesihatan mental. Kalau okey di luar sahaja, itu tidak cukup. Kesihatan mental lebih utama berbanding fizikal.

Beralih kepada perkembangan terkini. Bagaimana dengan karier anda sekarang?

Alhamdulillah, walaupun sering diberi watak lelaki baik tetapi tawaran itu tetap ada sampai sekarang.

Untuk bidang nyanyian pula, memang ada perancangan menghasilkan lagu kedua tetapi tengok dahulu macam mana. Insya-Allah kalau ada rezeki tidak ke mana.

Post a Comment

Previous Post Next Post