Altimet meraikan anak-anak Pusat Pengurusan Al-Firdaus sempena memenangi Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke 23 (AJL23) pada 11 Februari lalu.
Penyanyi rap Altimet menyangkal dakwaan single terbaharunya Mambang adalah sebuah lagu ‘menyerang’ bekas anggota kumpulan Too Phat iaitu Malique.
Altimet atau Ahmad Abdul Rahman, 40, sebaliknya menjelaskan melodi dan lirik lagu itu sebenarnya berkisarkan tentang dirinya sendiri.
“Tidak. Ia bukan berkenaan atau ditujukan kepada sesiapa dan perkara ini memang banyak yang bertanya dengan saya.
“Tahun lalu saya dapat idea menghasilkan lagu ini daripada seorang teman apabila dia kata perjalanan dunia seni saya sudah jauh berjalan.
“Lirik lagu itu sebenarnya mengenai diri saya yang dahulu dan saya ‘tembak’ (menyentuh) diri saya yang sekarang. Saya lawan dengan diri sendiri,” jelasnya.
Altimet ketika membuat persembahan di AJL32 pada 11 Februari lalu.
Altimet ditemui pada majlis kesyukuran bersama anak-anak Pusat Pengurusan Al-Firdaus bagi meraikan kemenangannya menerusi kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada 11 Februari lalu.
Seramai 40 kanak-kanak diraikan oleh Altimet di sebuah restoran di Petaling Jaya pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Altimet berkata, dia tidak kisah sekiranya ada pihak masih tidak percaya dengan penjelasannya itu.
Malah kata Altimet, dia sendiri sudah menerangkannya secara terperinci mengenai lirik Mambang di Twitter dan menyerahkan kepada masyarakat untuk menilainya.
“Mambang itu merujuk kepada diri saya yang lama dan pada tahap sekarang saya tak kisah jika masih ada yang tak percaya.
“Saya sendiri memang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku sebelum melancarkan Mambang.
Altimet memberitahu Mambang merujuk kepada dirinya ketika masa muda.
“Tetapi Alhamdulillah di sebalik itu Mambang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat walaupun ia tidak banyak dimainkan di radio,” katanya.
Untuk rekod, muzik video lirik Mambang yang dilancarkan sejak 26 Februari lalu mendapat 500,000 tontonan selain ia kini berada di tangga ke tujuh carta trending YouTube Malaysia.
Sementara itu, Altimet yang bakal bersara daripada bidang nyanyian pada November depan memberitahu dia bakal melancarkan album terbaharunya yang berjudul Air pada akhir Mac ini.
Selain itu kata Altimet, dia juga akan menghasilkan sebuah album terakhir yang dijangka dilancarkan pada November depan.
“Kejayaan Amboi di AJL32 dan penerimaan memberangsangkan Mambang pada saat-saat saya mahu mengundurkan diri tidak membuatkan saya berbelah bahagi untuk menarik balik keputusan dibuat sebelum ini.
Altimet melayan anak-anak daripada Pusat Pengurusan Al-Firdaus.
“Insya-Allah saya akan lancarkan dua buah album sebelum bersara selain merancang untuk mengadakan konsert jelajah,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Altimet, dia masih akan bergiat aktif dalam bidang seni namun hanya di belakang tabir dalam mencari bakat baharu dan sebagai komposer.
“Saya cuma berhenti daripada menyanyi rap dan menghasilkan lagu rap untuk diri sendiri tetapi kerja-kerja belakang tabir tetap saya teruskan.
“Malah jika ada tawaran dalam bidang lakonan, teater atau apa-apa berkaitan saya tidak akan menolak cuma saya tidak menyanyi lagi.
“Alhamdulillah ada syarikat rakaman bertaraf antarabangsa menawarkan saya bekerja dengan mereka tetapi saya masih berfikir dengan tawaran itu,” katanya.