Penyanyi dan pelakon terkenal, Kilafairy yang berpeluang berkolaborasi bersama penyanyi terkenal antarabangsa, Sean Kingston menerusi lagu 'Put The Word In' berharap dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk mengembangkan sayap kerjayanya ke luar negara.
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 25, berkata singlenya dirakamkan pada Jun tahun lalu, yang berkisar tentang percintaan mencatat lebih 750,00 penonton sejak dimuat naik dalam YouTube sejak 16 Februari lepas.
Beliau berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan serta kedudukan lagu itu yang turut tersenarai dalam carta iTunes di beberapa negara, beliau yakin singlenya itu mampu menjadi batu loncatan buatnya meneroka bidang seni di peringkat antarabangsa.
"Menyanyi memang merupakan minat saya sejak kecil dan apabila diberi peluang berduet dengan Sean Kingston yang cukup terkenal dengan lagu hit 'Beautiful Girls', ia peluang terbaik untuk menyerlahkan potensi diri," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.
'Put The Word In' merupakan sebuah lagu hasil susunan DJ Aku Ash manakala lirik hasil kolaborasi Bryan B, DJ Aku Ash dan Kenny Hughes dengan dinyanyikan Sean Kingston, Kilafairy dan DJ Aku Ash.