Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac mengakui masih belum bersedia untuk menjalin hubungan cinta selepas insiden putus tunang pada Oktober tahun lalu.
Disebabkan hal tersebut, Hans, 47, lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya serta bercuti ke luar negara selama tiga bulan selain berjumpa dengan kenalan baharu.
Katanya, selepas kejadian putus tunang sejak lima bulan lalu, Hans dan wanita terbabit saling tidak berhubung mahupun bertemu antara satu sama lain.
"Tidak dinafikan saya masih berasa kecewa. Ini apabila saya membuat keputusan untuk berkahwin tetapi ia tidak berakhir dengan gembira.
"Dalam hubungan, kita memerlukan komitmen daripada kedua-dua belah pihak. Dalam situasi kami, hanya saya yang memberi komitmen 100 peratus," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Lawak Ke Der di Istana Budaya hari ini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Cinta Luar Biasa itu turut mengakui memerlukan masa sekitar tiga tahun sebelum kembali menjalin hubungan cinta semula.
"Saya tidak mempunyai masalah untuk berkawan asalkan tidak bercinta kerana sekiranya ada jodoh, perkara itu akan berlaku dengan sendiri.
"Saya turut enggan memikirkan soal menamatkan zaman bujang dalam tempoh masa terdekat dan tidak memandang serius sekiranya isu terbabit menjadi usikan kenalan terdekat," ujarnya.
Pada 28 Februari tahun lalu, Hans mengumumkan pertunangannya dengan seorang model, Gabriella Robinson dan merancang untuk berkahwin pada 29 Julai, 2017.
Tarikh tersebut kemudian telah ditunda sebelum Hans mengesahkan pertunangannya sudah berakhir.
Hans bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai punca pertunangan tersebut berlaku.