Pelakon Amar Asyraf mengakui ramai di antara peminatnya terkejut dengan penampilan terbaharunya yang botak dan bermisai.
Imej tersebut jelas menampakkan dirinya lebih matang berbanding dengan penampilan sebelumnya yang sering dilabelkan sebagai ‘jambu’.
“Saya sendiri pun rasa lain dengan imej begini kerana sebelum ini tidak pernah sekali pun menyimpan misai yang tebal dengan pakej botak.
“Ramai peminat yang komen kata wajah saya nampak lain, malah ada yang kata hampir tak mengenali saya kerana kelihatan lebih berusia.
“Sebenarnya saya tampil dengan imej begini atas tuntutan watak untuk drama Hey Mr Sportlight yang mahu saya kelihatan jauh lebih matang berbanding heroin saya, Liyana Jasmay yang berwajah sweet tu,” jelas Amar sambil ketawa.
Ditanya adakah selepas ini dia akan terus mengekalkan imej sedemikian, Amar tidak menolak kemungkinan itu.
“Ramai yang kata saya nampak budak-budak dengan imej sebelum ini menyebabkan saya sering ditawarkan dengan watak dalam lingkungan umur seperti itu.
“Bila saya cakap umur dan 33 tahun, ada yang tak nak percaya, malah ingat saya saja main-main kerana mereka fikir saya masih 20-an.
“Jadi elok juga kalau saya simpan misai begini, lari sikit daripadaimej muka jambu dan nampak lebih matang,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Berkongsi tentang perkembangan terkininya, kata Amar, sepanjang tahun ini dia akan sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama episod.
“Tahun lalu, saya banyak buat telefilem sampai tak sempat nak buat episod biarpun ada tawaran yang datang.
“Jadi untuk tahun ini, jadual saya bakal padat dengan penggambaran beberapa buah drama episod yang akan disiarkan di stesen TV yang berbeza.
“Antaranya drama Isteriku 120kg, sebuah adaptasi dari novel tulisan Siti Nur Dhuha, terbitan Buku Prima, Karangkraf yang akan menyaksikan gandingan saya bersama Puteri Aishah,” katanya yang turut aktif dengan pementasan teater sebagai pengarah.