Hampir setahun pemergian Rezkie Azharin Azhar, penyanyi popular, Azharina Azhar mengakui terlalu merindui arwah anak angkatnya itu.
Katanya, perasaan itu adalah lumrah buat insan bergelar ibu.
“Hari ini, hari lahir arwah. Dah setahun dia. Hari-hari saya rindu dan ingat dia. Ibu kan… mesti ingat anak .
“Memang sedih, tapi saya tahu dia di sana tenang menunggu. Insya- ALLAH, selagi bernyawa dia sentiasa di dalam hati saya,” katanya pada Sinar Harian.
Terdahulu, penyanyi yang baharu muncul dengan single, Cinta Terbagi Dua ini meluahkan rasa rindu sempena ulang tahun pertama kelahiran anak angkatnya itu, di laman Instagram (IG).
Katanya, biarpun anaknya itu hanya hadir untuk sementara, Rezkie Azharin tetap tersemat kemas dalam jiwanya.
"Walaupun telah setahun Rezkie meninggal mumy, bagi seorang ibu yang serba kekurangan ini Rezki tetap bahagian dalam jiwa.
"Setiap hari ketika melalui tempat bersemayamnya kamu anak, mumy tak pernah lupa, di setiap solat, di setiap waktu, kamu tetap ada dalam ingatan mumy dan iringan.
"Doa tetap mumy titipkan buatmu. Sang Pencipta pinjamkan kamu buat mumy selama 23 hari," tulisnya.
Malah, penyanyi berusia 33 tahun ini juga mengakui sentiasa berada di sisi arwah anaknya itu meskipun hanya bergelar ibu angkat.
"Ya walaupun mumy tidak melahirkan kamu tapi saat ibu kandungmu mahu melahirkan kamu mumylah di sisi dia, mumylah driver, mumylah juga yang pertama mendakap kamu dan berbisik dua kalimah syahadah di telinga mu.
"Saat kau tenat mumy juga ada di sisimu. Dan saatku meninggalkan mumy dan abangmu, Rahmat mumy juga yang mendakapmu dengan penuh erat menangisi pemergianmu," luahnya lagi.
Bahkan, katanya, pemergian anak adalah perkara yang paling menyedihkan buat seseorang yang bergelar ibu dan bapa.
"Tiada seorang ibu mahupun bapa di dunia yang mahu melihat anaknya pergi sebelum mereka apatah lagi mengubur anak mereka.
"Itulah perasaan paling sakit seorang ibu harus lalui. Tidak kira sama ada darah daging atau pinjaman ALLAH kau tetap anakku dunia akhirat,” tulisnya lagi.
Pada masa sama, Azharina tidak lupa mendoakan anak angkatnya itu.
"Rezkie Azharin Azhar. Tenanglah kamu di sana anakku. Doaku iring buat mu anak…selamat hari lahirmu. Al Fatehah," luahnya.
Rezkie Azharin menghembuskan nafas terakhir disebabkan beberapa komplikasi termasuk buah pinggang rosak, pendarahan otak dan paru-paru dipenuhi susu pada 28 Mac 2017.