Amir Raja Lawak Tak Laku Jual Roti Bakar, Air Jagung Pula Dapat Sambutan


Amir Raja Lawak kini aktif menjual air jagung selepas perniagaan roti bakarnya gagal mendapat sambutan.

Kegagalan mengembangkan perniagaan snek roti bakar yang diberi nama Roti Bakor Amirreka secara francais yang diusahakan dua tahun lalu tidak melemahkan semangat pelawak Amir Raja Lawak untuk terus menceburi bidang perniagaan.

Sebaliknya Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 30, menjadikan perkara itu sebagai pembelajaran dalam mencuba nasib dalam perniagaan air jagung diberi nama Air Jagung Amirreka yang diusahakan sejak setahun lalu.

Kata Amir, dia bersyukur perniagaan yang diusahakannya itu mula menampakkan hasil apabila dia mampu menjual 500 paket air jagung dalam masa sehari apabila menyertai pelbagai festival yang disertainya.

“Kegagalan lalu tak mematahkan semangat saya sebaliknya ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus mencuba.

“Alhamdulillah air jagung yang saya jual hampir setahun lalu mula mendapat sambutan baik pelanggan walaupun pada awalnya saya hanya buat secara suka-suka.


Amir belajar daripada kesilapan.

“Kebiasaannya saya jual air jagung jika menyertai festival atau acara yang membuka ruang untuk menjual makanan dan minuman. Alhamdulillah dapat jual hingga 500 paket dalam masa sehari berniaga,” katanya kepada mStar Online.

Amir ditemui ketika tayangan perdana filem televisyen (FTV) Suatukala yang diadakan pada Isnin.

Selain Amir, ia menampilkan barisan pelakon seperti Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Sweet Qismina, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi dan Firdaus Ghufran.

Suatukala bakal menemui penonton bermula 15 Mac ini di Astro First Eksklusif (480) dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam.

Dalam pada itu, Amir berkata, perniagaan air jagungnya itu semakin berkembang apabila ia dibuka secara francais untuk sesiapa yang ingin membeli pati minuman itu.

Katanya setakat ini dia sudah mempunyai beberapa stokis di beberapa buah negeri dan berharap ia akan terus berkembang pada masa hadapan.

“Pati air jagung saya buat sendiri dan saya dapat resepinya daripada kawan saya.






Barisan pelakon filem televisyen Suatukala yang bakal menemui penonton pada 15 Mac ini.

“Alhamdulillah ramai mula membeli patinya untuk dibuat berniaga dan setakat ini saya mempunyai beberapa pelanggan tetap dari beberapa buah negeri,” katanya.

Bercakap mengenai karier seni, Amir berkata, dia bakal muncul dengan sebuah filem epik yang berkisarkan mengenai peperangan Jepun sekitar tahun 1940-an arahan Opie Zami.

Kata Amir, peranannya dalam filem itu adalah watak serius dan memberitahu ia memberi cara lain kepadanya sebagai pelakon.

“Sebenarnya susah lagi kalau bawa watak komedi kerana bukan senang nak buat orang ketawa.

“Apabila dapat watak serius dalam filem igu saya lega selain ia memberi cabaran lain sepanjang sembilan tahun berkecimpung dalam bidang seni,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post