Akma kembali meriahkan industri


Selepas 13 tahun menyepi, penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Asiah Tunakma Abdullah kembali memeriahkan industri muzik tempatan.

Memperolehi kekuatan untuk kembali aktif, Akma yang ditemui pada majlis showcase sempena pelancaran single terbaru berjudul Pesona berkata, segalanya bermula apabila dia menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif (PIK) di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur.

“Seperti diketahui umum, dalam bidang pengajian PIK ada ramai penggiat seni lain. Ada pengarah filem dan drama, pemuzik, penyanyi, pengawai perhubungan awam (PRO) syarikat rakaman dan filem. Mereka banyak berkongsi pengalaman dan idea. Menerusi mereka jugalah saya dapat semangat untuk kembali menyanyi,” katanya.

Akmar akui selepas berehat panjang kerana mahu memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan pada waktu sama sibuk dengan pengajian dan mengacara membuatkan dia hilang ‘arah’ sebagai penyanyi.

“Memandangkan dalam kelas ada pemuzik, penyanyi dan PRO, mereka selalu berkongsi perkembangan semasa industri muzik. Banyak maklumat yang saya dapat. Sedikit demi sedikit saya mula nampak di mana kedudukan saya dalam industri dan apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Lagu terbaru, Pesona juga sebenarnya sudah setahun lebih dihasilkan tetapi kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan karya ciptaannya itu hanya disimpan.

“Bekas anggota kumpulan Alam, Kausar yang juga teman sepengajian turut membantu. Saya menghasilkan lagu itu menerusi nada yang saya lagukan dan kemudian hasilkan lirik. Saya tanya kepada rakan kelas, apa pandangan mereka mengenai lagu ini. Kebanyakannya memberikan maklum balas positif.

“Mereka juga memberikan galakan agar saya terbitkan Pesona dan daripada maklum balas itulah saya dapat keyakinan. Saya menggunakan khidmat kenalan yang juga anggota kumpulan muzik baru untuk menerbitkan Pesona,” katanya.

Kembali aktif bermakna Akma perlu memberi lebih perhatian terhadap kerjaya muzik. Jika tidak, apa yang diusahakan hanya akan jadi sia-sia.

Menjelaskan perkara itu, Akma berkata banyak yang perlu dikorbankan apatah lagi perubahan dalam industri muzik berlaku dengan pantas.





“Kerja saya semakin bertambah. Selain keluarga, belajar dan mengacara, saya kini kembali menyanyi. Saya ada berbincang dengan suami mengenai perkara ini dan dia memberikan restu dan galakan.

“Saya akui restu diberikan suami juga menjadi sumber kekuatan kepada saya untuk kembali aktif menyanyi. Kalau suami tidak izinkan kemungkinan besar saya tidak akan terbitkan Pesona,” katanya.

Pada waktu sama kata Akma, anaknya sudah besar dan boleh berdikari jadi dia sudah boleh bergerak bebas andai terbabit dengan sebarang aktiviti promosi.

“Belajar dan mengacara juga hanya hari-hari tertentu, jadi selebihnya saya bolehlah memenuhi jadual promosi dan mengadakan persembahan,” katanya.

Pada malam persembahan showcase yang diadakan di Khadijah’s Kitchen, Petaling Jaya, Akma membawa peminat melayari sejarah pembabitannya dalam industri muzik tempatan dengan mendendangkan beberapa lagu yang memberi makna dalam hidupnya termasuk single pertama yang dihasilkan sewaktu menyertai AF3, Percaya Pada Cinta.

Selain itu Akma turut menampilkan kemampuan vokalnya apabila mendendangkan beberapa lagu malar segar seperti Sumpah Tanda Setia dan Bulan Ditutup Awan. Tidak ketinggalan lagu Inggeris yang diminati masa kini, Havana dan Perfect. Selain ahli keluarga, turut hadir memeriahkan acara ialah teman yang sama menyertai AF3 antaranya Sahri dan Adlin.

Post a Comment

Previous Post Next Post