Sejak berkahwin pada Julai tahun lalu, pelakon cantik manis, Ummi Nazeera bahagia melayari rumah tangga bersama suami tercinta, Dr. Mohd. Izzar Anwari Abd. Khan. Mereka juga dilihat sering melancong ke luar negara.
Baru-baru ini, salah satu status pemilik nama Ummi Nazeera Nurul Hidayah Zainal Abidin yang sering mengadu kepenatan dan keletihan, mengundang spekulasi bahawa pelakon Nur Kasih itu sedang berbadan dua.
Rata-rata peminat mula menghujani ruangan komen laman sosial Ummi dengan ucapan tahniah dan meluahkan rasa gembira, andai apa yang diteka mereka benar-benar terjadi.
Namun, wanita berusia 28 tahun itu memberitahu, setakat ini masih belum ada berita gembira yang boleh dikongsikan dan berharap peminat terus mendoakan mereka agar segera dikurniakan cahaya mata.
KOSMO!: Melihat pada status Instagram Ummi yang sering menulis tentang keletihan, adakah anda kini sedang hamil?
Benar, sejak akhir-akhir ini saya memang cepat penat sebab memberi sepenuh tumpuan terhadap kerja dan dalam masa yang sama, masih belajar bagaimana untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sempurna. Tambahan pula, saya baru berpindah ke rumah baharu, jadi saya sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan berdua berbanding dengan keluarga sebelum ini. Namun setakat ini, saya belum berbadan dua seperti yang diharapkan peminat tetapi saya berharap anda semua terus mendoakan saya dan suami.
Adakah anda dan suami merancang tempoh tertentu untuk menimang zuriat?
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mahu cahaya mata sebagai penyeri kehidupan mereka. Kami tidak pernah merancang malah saya dan suami juga tidak sabar hendak menimang bayi dalam waktu terdekat kerana kami percaya anak merupakan anugerah Allah. Saya harap peminat sentiasa mendoakan agar semuanya dipermudahkan kelak.
Apakah perubahan paling ketara selepas hampir lapan bulan bergelar isteri?
Setakat ini, kehidupan saya seperti biasa. Cuma, menjadi kebiasaan buat individu yang baru berkahwin, pasti ada perubahan dalam hal tertentu. Apa yang pasti, saya dapat membahagikan waktu antara rumah tangga dan kerjaya seni. Saya dapat menunggu suami balik dari tempat kerja, memasak, makan malam, menonton wayang dan buat aktiviti riadah bersama. Meskipun sudah memikul tanggungjawab sebagai isteri, saya masih dapat bekerja seperti biasa di samping sibuk mengusahakan produk Nazeera Village dan bisnes lain. Sekarang saya yang akan menguruskan jadual waktu bersama pengurus agar semua menjadi seimbang.
Baru-baru ini anda dilihat menjalani penggambaran sebuah program bersama suami. Boleh kongsikan sedikit pengalaman pertama kali bergandingan dengan suami sendiri?
Alhamdulillah, suami saya okey semasa menjalani penggambaran Romantika awal tahun ini untuk terbitan bersama Astro. Selama berada di Kaohsiung, Taiwan selama enam hari, saya berjaya menjalani dua buah program serentak termasuk Romantika.
Mulanya dia sedikit pemalu, tetapi lama-kelamaan dia dapat membiasakan diri dengan keadaan tersebut disebabkan seluruh kru produksi sangat peramah dan memberi sokongan. Jadi, dia tidak berdepan masalah kerana saya juga ada memberi tunjuk ajar kepada suami tentang cara di depan kamera.
Biarpun sibuk bekerja, anda sering dilihat meluangkan masa bercuti dengan suami. Adakah ia suatu rutin wajib dalam hubungan kalian?
Ya, saya dan suami gemar bercuti dan melakukan aktiviti bersama. Malah sebelum mendirikan rumah tangga, kami selalu melakukan aktiviti bersama termasuk mendaki bukit dengan kawan-kawan. Bagi saya, percutian selepas berkahwin tidak kiralah di dalam atau luar negara, ia adalah aktiviti yang sangat penting kepada pasangan suami isteri kerana kami dapat menikmati suasana baru di sesuatu lokasi sambil berborak lebih panjang tanpa sebarang gangguan. Insya-Allah, kami akan amalkan aktiviti percutian bersama walaupun sudah beranak-pinak nanti.
Bagaimana perkembangan terkini kerjaya anda?
Saya baru habiskan rakaman program perkahwinan berjudul Sanding sebanyak 13 episod. Selain itu, filem Gol & Gincu Vol. 2 lakonan saya juga bakal ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Tidak dilupakan, saya ada dua projek besar pada tahun ini, cuma ia masih belum boleh dikongsi buat masa ini. Yang pasti, dua perkara itu bakal menjadi karier terbaharu saya selain lakonan dan pengacaraan.