Remy ingin menstabilkan diri terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga dengan tunangnya.
Pelakon Remy Ishak belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Roszaliza Yusof kerana masih memerlukan masa untuk memikirkan tanggungjawab besar sebagai seorang suami.
Remy atau nama sebenarnya, Zalimei Ishak berkata ketika ditemui di Damansara sebentar tadi, dia ingin menstabilkan diri dari segi kewangan dan banyak perkara lagi.
"Saya sedang bekerja keras untuk mengumpul duit. Untuk menjadi seorang suami itu, tanggungjawabnya besar bukan hanya untuk menyatukan silaturahhim.
"Saya harus memastikan masa depan saya. Saya seorang lelaki yang mahu masa depan berjalan dengan lancar. Jadi saya merancang semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya daripada dulu seorang yang amat bertanggungjawab menjaga keluarga," kata Remy yang kini popular dengan drama Kekasih Paksa Rela.
Remy menambah, dia juga tidak ingin perkahwinan yang akan berlaku nanti berakhir dengan kegagalan.
"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah. Jadi, saya tidak mahu terburu-buru soal kahwin sebab perkahwinan merupakan perkara yang penting," kata Remy ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays bersama kelab peminat ke Sepanyol di sini hari ini.