Pelakon Josiah Hogan tidak terasa hati dengan netizen tidak menyebut namanya dalam mempromosikan poster dan trailer filem KL Special Force baru-baru ini.
Menurutnya, dia sendiri tidak tahu mengenai perkara itu sehingga dimaklumkan rakan pelakon iaitu Ramona Zam Zam yang bersuara bagi pihaknya.
“Saya tidak terasa hati kerana faham mungkin ramai yang tidak kenal saya berbanding pelakon lain dalam filem itu. Tapi saya ok saja.
“Kalau bukan Ramona yang memaklumkan mengenai hal itu, saya pun tidak tahu-menahu mengenainya. Lagipun apa boleh buatlah kalau saya tidak dikenali.
“Tapi saya sendiri memang mempromosikan filem itu juga,” katanya.
Terdahulu, Ramona memuat naik di IG Story meminta sesiapa yang mempromosikan filem itu agar menyebut sekali nama Josiah.
“Hi guys, dalam masa satu malam terlalu ramai yang repost poster dan trailer KL Special Force. Tapi sayangnya hampir semua terlupa tag Josiah Hogan.
“Josiah pun satu team bersama Ramona, Mustaqim dan Syamsul. Dia lebih banyak babak berbanding saya,” kata Ramona.
KL Special Force adalah sebuah filem aksi arahan Syafiq Yusof yang akan ditayangkan di pawagam pada 8 Mac nanti.