Rindu penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Satu, Nora Ariffin terhadap arwah suaminya, Johan Nawawi tidak pernah padam. Awal pemergian komposer itu, Nora beberapa kali berkongsi rasa di laman sosial miliknya.
Bagaimanapun, ada segelintir pengikut Instagram memandang negatif perkara itu. Namun, ramai yang simpati dan memberikan kata-kata semangat.
Kata Nora, menerusi medium itulah dia mula mendapat rakan baharu. Walaupun sekadar berkongsi kata-kata motivasi di ruangan mesej, dia gembira kerana dapat berkongsi kekuatan.
“Ada yang menegur dan memandang buruk perkongsian yang saya buat di laman sosial. Ketika itu, saya tertanya-tanya kenapa mereka bersikap sedemikian sedangkan ia hanyalah luahan perasaan?
“Lama-kelamaan, saya abaikan saja komen yang mereka tulis di Instagram saya. Saya malas layan. Kalau tidak suka, mereka boleh berhenti daripada menjadi pengikut saya di laman sosial.
“Bagaimanapun, ada ramai juga yang memberikan kata-kata semangat agar saya terus kuat. Ada juga yang senasib dengan saya menghantar mesej mendoakan kesejahteraan dan menyuntik motivasi,” katanya.
Kata Nora lagi, ada juga yang menjadikan dirinya sebagai inspirasi agar tabah menempuh cabaran hidup. Dia tidak sangka perkongsian itu mampu memberikan aura positif kepada orang lain.
“Saya tidak sangka ada yang menjadikan saya sebagai inspirasi. Mereka lihat saya sebagai wanita yang kuat. Nak dijadikan cerita, ada seorang wanita yang memasang niat untuk berpisah dengan suaminya atas alasan tidak bersefahaman.
“Bagaimanapun, selepas melihat perkongsian yang saya buat di Instagram, dia menjadikan saya contoh untuk bertahan dengan suaminya. Perkara ini mengejutkan saya sekali gus membuatkan saya terus jadi kuat agar dapat menyebarkan aura positif,” katanya.
Seorang diri menguruskan keluarga dan syarikat, Nora banyak belajar perkara baru dan cuba membahagiakan diri sendiri demi anak. Tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, wanita ini berusaha melakukan yang terbaik untuk menjaga dan membesarkan anaknya.
Mungkin dipengaruhi perasaan rindu, adakalanya Nora akan bermimpi mengenai arwah. Walaupun hanya sekadar mainan tidur, ia cukup membuatkan wanita itu gembira.
“Kadang-kadang saya mimpikan arwah. Walaupun sekadar mimpi, ia cukup melegakan rasa rindu. Bagaimanapun, saya gembira untuk dia kerana pergi dalam keadaan baik.
“Saya berjanji dengan diri sendiri untuk membesarkan anak dengan sempurna. Dulu, dia bantu saya untuk bangun semula apabila jatuh, sekarang saya kena berdiri sendiri. Saya tidak mungkin dapat bertemu seseorang yang sama seperti Johan dalam hidup ini,” katanya.