Min Yasmin semakin laris di Filipina


Sejak mula dikenali di Filipina pada tahun 2015 menerusi lagu Sa Iyo duet bersama Nikki Bacalod, nama Min Yasmin tidak lagi menoleh ke belakang. Langkahnya semakin berani dan tidak mahu melepaskan peluang demi mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi di negara itu.

Kini, setelah hampir tiga tahun berlalu, pemilik nama Nurul Yasmin Abdul Aziz itu mampu tersenyum puas apabila berjaya menghasilkan sebuah album penuh bertajuk Min Yasmin Pangarap yang memuatkan 14 buah lagu kesemuanya.

Menariknya, album yang diterbitkan sendiri oleh suaminya yang juga komposer tersohor iaitu Julfekar Ahmad Shah itu adalah pengisian dua buah lagu Melayu bersama beberapa lagi lagu dalam bahasa lain seperti Tagalaog, Inggeris, Sama dan Tausug.

Kata wanita berusia 30 tahun itu, meskipun sedang mencipta nama di Filipina, namun pada masa yang sama, dia masih mahu membawa imej Malaysia dalam karyanya, sekali gus membuktikan dirinya tidak melupakan tanah air sendiri.

Min yang kini berada di Manila bagi persiapan pelancaran album berkenaan di sana sekitar hujung bulan ini berkata, dia tidak mengambil hati walaupun bakatnya dalam dunia nyanyian lebih dihargai pihak luar. Baginya, rezeki hadir dalam banyak situasi.



KOSMO!: Boleh ceritakan sedikit tentang album Min Yasmin Pangarap yang akan dilancarkan tidak lama lagi?

MIN YASMIN: Saya memilih nama Pangarap atau dalam bahasa Melayu bermaksud berharap kerana ia merupakan single pertama yang akan dipilih sebagai pengenalan album tersebut. Ia juga melambangkan harapan saya, agar percubaan kali ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Terdapat 14 buah lagu dalam album ini yang terdiri daripada lima bahasa berbeza.

Saya juga berpeluang bekerjasama dengan seorang komposer popular Filipina bernama Vehnee Saturno dan beberapa penulis lirik seperti Raz Tawasil Itum (Tagalog),Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).

Saya mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkan album ini dan proses rakamannya dibuat di Manila dan Kuala Lumpur mengikut kesesuaian lagu.

Apakah cabaran paling besar sewaktu proses rakaman?

Menyanyi dalam lima bahasa berbeza ialah cabaran paling utama. Bagi bahasa Melayu, Inggeris dan Tagalog saya tidak mempunyai masalah namun untuk tiga lagi bahasa menuntut sedikit penekanan kerana ia sesuatu yang baharu buat saya.

Oleh kerana ia dialek tradisional Filipina maka cara sebutannya juga tidak sama dengan Tagalog.

Semasa merakam sebuah lagu dalam bahasa Tausug, prosesnya terpaksa dilakukan secara berulang kali kerana mahu mendapatkan nada dan sebutan yang tepat serta penghayatan yang betul.

Mengapakah memilih membuat album di Filipina berbanding di Malaysia?

Sejak nama saya semakin diterima oleh peminat di sana, saya rasakan ia suatu peluang untuk melebarkan sayap seni di Filipina, sekali gus mengekalkan momentum kerjaya saya di luar Malaysia.

Ini tidak bermakna saya mahu melupakan terus negara sendiri, malah saya ada sebuah album untuk peminat di Malaysia. Ia sudah 80 peratus siap cuma menanti masa sahaja untuk dilancarkan.

Saya seorang yang gemar memberi tumpuan untuk satu kerja dalam satu-satu masa. Jadi buat masa sekarang, saya ingin fokus karier di Filipina terlebih dahulu.



Industri tempatan kini mengamalkan trend membuat single berbanding sebuah album lengkap. Adakah anda sudah bersedia dengan risiko yang bakal dihadapi apabila melancarkan album di Malaysia kelak?

Saya sedar akan perkara itu, namun saya juga percaya sebagai seorang penyanyi, inilah strategi saya. Jika dahulu mungkin semuanya bergantung kepada penjualan cakera padat fizikal namun sekarang terdapat pelbagai platform muzik digital.

Jadi, isu tidak laku bukan satu hal yang besar. Lagipun melancarkan album penuh bermakna lebih banyak pilihan untuk pendengar berbanding hanya satu single yang diulang-ulang.

Bercakap tentang populariti, pernahkah anda terasa hati atau terkilan kerana nama di tanah air tidak sehebat di Filipina?

Tidaklah, perkara tersebut langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sepanjang berada dalam industri muzik. Saya yakin dengan usaha, tawakal dan rezeki yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Mungkin sekarang peluang saya di Filipina. Insya-Allah akan tiba masanya nama saya turut diterima baik di Malaysia. Apa yang penting saya telah melakukan yang terbaik.

Apakah harapan anda untuk album Min Yasmin Pangarap?

Seperti artis lain, saya berharap ia diterima baik di Filipina dan menerusi dua buah lagu Melayu yang saya selitkan, pendengar di sana dapat belajar tentang keindahan lirik dan melodi dari Malaysia.

Doakan semoga album untuk peminat Malaysia siap dalam masa terdekat kerana saya tidak sabar untuk berkongsinya dengan peminat tempatan pula.

Post a Comment

Previous Post Next Post