Jipie, Pesawat masih utuh


Tampil dengan lagu solo berjudul Vortex, vokalis Pesawat, Jipie menerima banyak pertanyaan daripada peminat yang beranggapan kumpulan itu sudah membawa haluan masing-masing.

Mengulas keadaan itu, pemilik nama sebenar, Hudzaifei Hazmi berkata, lagu Vortex hanya sekadar projek solo. Dia turut menegaskan Pesawat masih lagi bersama meskipun sudah lama sunyi tanpa lagu baru.

Kata Jipie, dia pernah terfikir untuk memulakan projek berkenaan namun belum menemui masa yang sesuai. Bagaimanapun, peluang itu terbentang luas apabila pengarah Nik Amir Mustapha menghubunginya dan meminta dia menghasilkan runut lagu untuk telefilem Ilham arahannya.

“Apabila dia memberitahu jalan cerita telefilem itu, saya teringat ada lagu dalam simpanan peribadi yang sesuai dengan kisah dipaparkan dalam Ilham. Saya pun beri dia dengar dan dia bersetuju menggunakan lagu itu untuk telefilem berkenaan.

“Saya tidak jangka pun lagu itu akan mendapat maklum balas positif. Ramai yang terkejut apabila mengetahui saya menyanyikan lagu itu seorang diri tanpa anggota Pesawat lain.

“Sebab itulah ada peminat yang terkejut. Mereka ingatkan Pesawat sudah berpecah. Tetapi, ia sebenarnya hanya projek solo saja. Ramai yang suka lagu itu dan saya akan teruskan projek solo seperti yang sudah dirancang sebelum ini,” katanya.



Menurutnya lagi, dia tidak mungkin akan meninggalkan Pesawat sedangkan mereka sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu baru dan mengadakan konsert khas sempena ulang tahun ke-10 kumpulan itu.

Kata Jipie, lagu-lagu untuk projek solo berbeza daripada single Pesawat yang terkenal dengan lagu rancak dan bingit. Namun, dia mengakui Vortex masih mempunyai sedikit identiti Pesawat.

Jejaka berusia 37 tahun itu mengakui, ada sedikit kesukaran untuk menghasilkan dua lagu dengan identiti berbeza. Namun, dia yakin single kedua nanti lari jauh daripada genre Pesawat.



“Ada yang mencadangkan agar Pesawat menyanyikan lagu Vortex. Namun, genre lagu itu tidak sesuai dengan kumpulan kami. Sudah 10 tahun kami dengan identiti lagu rock rancak dan bingit. Pesawat akan terus kekal dengan irama muzik seperti itu.

“Bagi projek solo pula, saya akan ke arah genre lain. Memang ada sedikit kesukaran untuk lari daripada imej Pesawat kerana lagu-lagu kumpulan pun memang saya yang gubah.

“Tetapi, saya berasa sayang pula apabila ada lagu tersimpan begitu saja. Rasanya tidak salah untuk saya kongsikan karya lain yang berbeza dengan muzik Pesawat. Untuk lagu kedua nanti, ia akan lebih berbeza dan tidak ada sedikit pun identiti Pesawat,” katanya.

Menarik peminat baru, Jipie menganggap Vortex yang menjadi runut lagu itu sebagai satu bonus bukan hanya untuk projek solonya tetapi juga Pesawat.

“Ada yang tidak tahu saya adalah vokalis Pesawat. Mereka ini adalah peminat baru yang minat kerana lagu Vortex. Saya percaya, selepas ini mereka juga akan menyukai rangkaian lagu Pesawat,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post