Amir Hamzah gugup depan kamera


Siapa sangka menjadi sebahagian daripada program realiti Hero Oven musim kedua, baru-baru ini memberikan peluang kepada Amir atau nama sebenarnya, Amir Hamzah Mohamed peluang untuk menambah keyakinan diri.

Walaupun pernah bergelar pensyarah dan mengajar di hadapan ramai pelajar, dia sendiri mengakui gugup untuk beraksi di depan kamera.

“Saya tak ada masalah untuk bercakap di depan orang tapi berbeza apabila saya beraksi di depan kamera.

“Saya akan menjadi gugup dan tidak petah seperti mana saya mengajar di depan pelajar,” katanya.

Mengungguli tempat keempat dalam program realiti membuat pastri itu membuatkan Amir melangkah setapak lagi menggapai cita-cita dan impiannya.

“Saya bermula sedikit lambat dalam program itu, namun saya tidak pernah berputus asa dan terus kejar cita-cita. Alhamdulillah, walaupun tidak bergelar juara, berada dalam kalangan finalis juga sudah membuatkan saya berpuas hati,” katanya.

Menurut Amir, apa yang paling penting dalam kehidupan seseorang adalah restu daripada ibu bapa.

“Untuk saya, restu ibu yang paling utama. Doanya sentiasa mengiringi kejayaan saya dan setiap apa yang dilakukan, saya akan kongsikan dengannya,” katanya.



Bercerita mengenai keluarga, Adam hadir daripada keluarga yang memiliki bakat memasak dalam darah mereka.

“Semua ahli keluarga saya ada bakat menebar roti canai memandangkan ibu adalah peniaga roti canai. Saya sendiri pun boleh.

“Selain itu, saya ada pengetahuan dalam bidang pastri asas di samping masakan Barat,” katanya.

Menerusi pengalamannya dalam Hero Oven, Amir mengakui cuba menampilkan kelainan dengan menggunakan peralatan yang berbeza.



“Saya tidak banyak duit untuk membeli perkakas mahal. Jadi, saya gunakan apa yang saya miliki.

“Antaranya yang saya pernah menggunakan pinggan batu, daun dan sebagainya. Selain menjimatkan kos, benda-benda itu sebenarnya unik dan ada nilai estetika sendiri,” katanya.

Sebaik selesai program itu, Amir meneruskan minatnya dalam bidang pastri dan penggayaan makanan.

“Saya ada membuka akaun Instagram dengan nama @sabant_inthe_making dan di situ, saya kongsikan pelbagai contoh ‘food styling’ yang pernah dihasilkan.

“Secara tak langsung, ia menjadi portfolio saya dan alhamdulillah, banyak reaksi yang saya terima daripada peminat makanan dari dalam dan luar negara,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post