Impian antarabangsa Kilafairy


Jika menyebut sebaris nama Kilafairy, barangkali satu hal yang sering membayangi kehidupan penyanyi dan pelakon itu adalah kisah kontroversi kerana karakternya yang seksi dan menggoda.

Namun, bukan hal itu yang ingin dijajanya bagi pembukaan awal tahun ini melainkan dengan misi mahu terus maju dalam bidang nyanyian yang selama ini kurang diberi perhatian oleh peminat.
Menambah profil dalam portfolio seninya, pemilik nama sebenar, Syakila Nisha Jangir Khan itu muncul dengan sebuah lagu baharu berbahasa Inggeris selepas kali terakhir hadir dengan single kira-kira dua tahun lalu.

Single berjudul Put The Word In hasil ciptaan Bryan B, Radio3000, DJ Aku Ash dan Kenny Hughes itu selamat dilancarkan pada sebuah majlis yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Lebih manis, Kilafairy melakar sesuatu yang istimewa tentang lagu itu apabila tampil berduet dengan bintang antarabangsa, Sean Kingston dan DJ Aku Ash.

Menceritakan lanjut tentang kerjasama yang terjalin, penyanyi berusia 26 tahun itu berkata, ia terjadi secara spontan ketika dia terdengar rentak lagu tersebut dimainkan di sebuah studio rakaman.

“Pertama kali mendengar rentak lagu ini, saya terus suka kerana ia sangat kena dengan jiwa. Rentaknya yang rancak dan unsur tarian menjadikan ia sebuah lagu yang energetik. Inilah muzik yang saya cari dan mahu perjuangkan.

“Tidak sangka pula usikan saya untuk mencuba lagu itu akhirnya membuka peluang menyanyikannya. Ini adalah pencapaian terbaik yang pernah saya capai dalam karier,” ujarnya teruja membuka perbualan.

Menariknya, lagu berentak elektronik R&B itu diselitkan dengan elemen tarian Jamaica dalam penghasilan klip video lagu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.



Antarabangsa

Ditanya tentang pembaharuan dalam muzik yang dibawanya, Kilafairy sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan dan berani berdepan kritikan daripada peminat. Hal ini termasuklah mengenai tarian yang dilakukannya yang boleh disifatkan agak mengghairahkan.

“Saya akui agak risau juga dengan penerimaan masyarakat tentang tarian itu tetapi untuk klip video nanti, pihak pengurusan akan memastikan bahagian yang dilihat keterlaluan akan dipotong,” ujarnya.

Pembikinan klip video itu turut diserikan dengan penampilan rakan-rakan artis seperti Altimet, Izara Aishah, Joe Flizzow dan Kaka Azraff.

Mengambil inspirasi daripada rakan artis lain yang berjaya menempa nama dalam persada antarabangsa, ia juga menjadi impian pelakon filem Karak itu untuk meneroka dunia luar.

“Semestinya ia menjadi impian setiap anak seni untuk mengembangkan karier di persada antarabangsa. Saya juga tidak menolak andai ada rezeki kerana lagu ini memang mempunyai permintaan untuk pasaran luar.

“Sean akan mempromosikan lagu ini tidak lama lagi. Jadi, saya berharap agar lagu Put The Word In akan diterima baik walaupun hakikatnya saya masih bayi dalam industri. Sebab itu saya mengharap yang terbaik untuk lagu ini,” ujarnya penuh pengharapan.

Sejak dilancarkan menerusi platform digital, lagu tersebut boleh didengari bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi juga Indonesia, Filipina, Taiwan, Singapura dan Belgium.



Kukuh

Syarikat rakaman Paranormal Records dan pengurusan Lion Music Group juga turut merangka pelan untuk memasarkan lagu tersebut di pasaran Hollywood.

“Kami akan pasarkan untuk pendengar di sana dan insya-Allah jika nasib menyebelahi, akan ada perancangan lain menyusul. Selebihnya saya tidak boleh mengulas lanjut kerana lagu ini pun belum memasuki pasaran Hollywood lagi setakat ini,” jelasnya.

Tinggalkan perihal kerjaya, perbualan pada pertemuan tempoh hari dilanjutkan tentang soal peribadi anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil itu.

Status dirinya menjadi usikan, sementelah beberapa orang rakan baiknya selamat mendirikan rumah tangga.

Apakah dia pernah terkesan dengan situasi itu ataupun tidak, ini jawapan diberikan Kilafairy: “Secara jujurnya saya langsung tidak berasa cemburu dengan kebahagiaan kawan-kawan atau rasa tertekan kerana belum berumah tangga. Kawan-kawan kahwin pun sebab saya yang suruh kerana bahagia melihat mereka gembira.”

Sebelum ini, pelantun lagu Setia itu dikatakan pernah menjalin hubungan cinta dengan pelakon kacak dari Indonesia bernama Hardy Hartono sebelum hubungan itu dikhabarkan retak sekitar Ogos 2016.

Namun, berbeza dengan apa yang diakuinya apabila mengaku hanya berkawan biasa dan tidak pernah bercinta dengan jejaka itu. Tidak pasti apakah itu sekadar gurauan atau memang benar dimaksudkan Kilafairy, hanya dia yang mengetahui kebenarannya.

Apa yang pasti, buat masa ini fokusnya adalah untuk mengukuhkan karier terlebih dahulu dan menolak ke tepi soal jodoh.

“Saya bukan wanita yang akan mencari lelaki berstatus hebat untuk menjamin masa depan. Saya selalu ingat pesan mama, jangan bergantung harap pada lelaki.

“Jika mahukan sesuatu, lakukan sendiri. Semua perkara kita boleh capai andai berusaha sendiri. Beli rumah sendiri dan capai apa yang dimahukan dalam hidup.

“Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada pun tidak mengapa tetapi doakanlah yang baik-baik untuk saya,” ujarnya tegas menzahirkan pendirian hati.

Menjadikan 2018 sebagai tahun untuk fokus dalam lapangan nyanyian, Kilafairy melakar profil peribadi apabila muncul dengan single baharu bersama bintang antarabangsa, Sean Kingston berjudul Put The Word In.

Post a Comment

Previous Post Next Post