Perjalanan Mohd Firdaus Materang atau Firdaus, 25, terhenti pada minggu ketiga, Konsert Bintang RTM 2018, apabila diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu ini.
Menyampaikan lagu Flying Without Wings, nyanyian asal Westlife, Firdaus gagal menambat hati juri apabila mendapat markah paling rendah berbanding 11 peserta lain yang bertanding.
Firdaus yang ditemui Sinar Harian sebaik diumumkan tersingkir, akur dengan penyingkiran tersebut dan mengaku melakukan sedikit kesilapan dalam persembahan tersebut.
“Untuk malam ini saya dah cuba buat yang terbaik dan menggunakan sepenuhnya apa yang dipelajari ketika latihan.
“Namun mungkin kerana rasa gementar dan terlalu berjaga-jaga dengan sebutan lirik bahasa Inggeris dalam lagu yang disampaikan membuatkan persembahan saya kurang menyerlah.
“Apapun, terima kasih kepada RTM untuk peluang ini dan saya juga cukup menghargai sokongan padu warga Sarawak untuk saya sepanjang pertandingan ini,” katanya yang akan meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.
Peserta lain yang turut bertanding pada malam ini ialah Hariz, Dee, Herman, Yuveena, Hafiz, Anna, Heidi, Ajoi, Ferona, Rusil dan Yasser.
Persembahan kesemua peserta pada malam ini diadili sepenuhnya juri profesional yang terdiri daripada Adibah Noor, AG Coco dan Ajai.
Bintang RTM 2018 yang bersiaran secara langsung di TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri ini menampilkan Misha Omar dan Aqasha sebagai pengacara.