Elyana Hadiah buat peminat


Lebih 15 tahun berada dalam industri satu tempoh yang panjang. Justeru, penyanyi Elyana mahu ‘menghadiahkan’ sesuatu buat peminatnya.

“Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, saya akan mengadakan showcase mini bagi memenuhi permintaan peminat,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Kalis Rindu itu, ramai pengikut setianya mahu dia mempersembahkan semua lagu daripada album pertama hingga terkini.

“Mereka nak dengar saya menyanyikan semua lagu. Terfikir juga sama ada saya mampu melakukannya atau tidak.

“Ketika masih muda dulu, saya boleh sampaikan banyak lagu dan tidak semput. Kini kemampuan mungkin agak terhad.

“Jadi, saya akan nyanyikan sembilan hingga 10 lagu pada acara itu nanti,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai perancangan itu, pemilik nama sebenar Emeelya Elyana Emrizal ini berkata, dia mahu penonton berasa dekat dengan dirinya sepanjang showcase berlangsung.

“Kalau boleh, saya tak mahu ruang yang terlalu besar atau terlalu ramai peminat. Tak mengapa jika keluasan lokasi persembahan nanti kecil saja asalkan peminat yang hadir benar-benar meminati saya,” katanya.



Tambah Elyana, dia tahu ramai peminat yang mengikuti perkembangannya sejak mula kini sudah meningkat dewasa dan berkeluarga.

“Jadi, saya tak terkejut kalau ada peminat yang datang menyaksikan showcase itu nanti bawa pasangan dan anak,” katanya.

Terbaru, Elyana kini dalam proses menyiapkan album terbaru yang bakal memuatkan 10 lagu baru.

“Buat masa sekarang, empat lagu sudah dirakam dan berbaki enam lagu lagi. Insya-Allah, ia akan disiapkan secepat mungkin,” katanya.



Selain itu, dia yang pernah hadir dengan single Ikhlas Dalam Resah pada tahun lalu bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah.

“Alhamdulillah, setiap minggu ada saja tawaran persembahan saya terima. Selagi terdaya saya akan penuhi undangan itu,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai kesihatannya, Elyana yang menghidap kanser limfoma tahap empat itu bersyukur kerana masih mampu bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti harian dengan baik.

Tidak hanya mahu aktif dalam bidang muzik, Elyana juga berhasrat mengeluarkan produk kosmetik jenamanya sendiri..

Post a Comment

Previous Post Next Post