Cromok, XPDC 
goncang pentas MAEPS


Buat julung kali, dua legenda genre metal tanah air bergabung tenaga berkongsi pentas dalam Konsert Metal Legends Live di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Seri Kembangan, Selangor baru-baru.

Konsert selama hampir empat jam itu bukan sahaja mengembalikan nostalgia dua kumpulan gergasi tanah air tersebut, tetapi penggunaan sistem bunyi bernilai hampir RM400,000 memberi kepuasan kepada penonton.

Tidak dapat dinafikan persembahan bertenaga mereka yang dilengkapi dengan sistem bunyi dan penataan cahaya canggih memukau hampir 3,000 penonton yang membanjiri MAEPS.

Faktanya, baik Cromok atau XPDC, usia setiap pahlawan pentas ini bukan lagi muda.

Cromok misalnya yang terkenal dengan genre trash metal dibarisi Khairul Anuar Shariff (Karl), Shamsudin Ali (Sam), Tarmizi Mokhtar (Miji) dan dibantu oleh Shah Sidious (Shah) mencuri tumpuan kerana mereka tidak menunjukkan tanda-tanda telah berusia apabila berentap di atas pentas.

Lantunan suara garau thrash metal vokalis Cromok, Sam, petikan jari Karl yang bersahaja dalam ‘menggoreng’ gitar bersama Shah dan ketukan dram Miji mendapat tepukan serta pujian para penonton

Kehebatan kumpulan yang pernah dinobatkan The Best Heavy Metal Band oleh majalah Hot Metal di Sydney, Australia pada tahun 1990 itu bukan calang-calang kerana membuai penonton dengan persembahan selama hampir dua jam 30 minit.



Imbau kenangan

Antara lagu yang menjadi pilihan Cromok dalam persembahan malam itu termasuk lagu popular mereka seperti Misty, The Other, Memories, Seedling, Another You, Little One, I Don’t Belong Here, Forever In Time dan Stranger.

Apa yang menarik, Cromok juga memperkenalkan individu bertanggungjawab yang memperkenalkan mereka pada pentas antarabangsa dibawa khas dari Sydney, Australia iaitu Danny Kaleda kepada para penonton.

“Biarpun, sudah 26 tahun berlalu tetapi saya merasakan ia seperti baharu sahaja berlaku. Persembahan malam ini sangat hebat dan menakjubkan.

“Ini merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki di sini tetapi ia bukan yang terakhir. Saya berharap ia menjadi permulaan sesuatu yang istimewa pada masa hadapan,” ujar Danny Kaleda yang merupakan pengurus Cromok di Australia.

Terdahulu kumpulan XPDC yang tampil bersama Mael, Zua, Amy dan Jeff membuka pentas dengan mempersembahkan lagu-lagu metal mereka antaranya Bahalol, Penyakit Gatal, Jangan Tak Mandi, Nafisa, Raja Kertas, Senapang Patah, John Jenin, Hamba Abdi, Selendang Merdeka dan Kita Peng Yu.

Persembahan Zuar, Amy dan Jeff cukup bertenaga dalam bermain instrumen masing-masing. Ia sekali gus mengimbau kenangan kehebatan kumpulan berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu yang mempunyai peminat tegar sehingga hari ini.

Bagaimanapun, lontaran suara vokalis XPDC, Mael kurang menyengat pada malam persembahan malah terdapat tutur katanya sukar difahami ketika berada di atas pentas.



Terus rock

Sebelum menutup persembahan pada malam konsert berkenaan, vokalis XPDC, Mael memberitahu dia sentiasa berasa dirinya muda apabila dapat menghiburkan para penonton.

“Saya tidak pernah menganggap diri seperti dimamah usia malah sentiasa rasa muda apatah lagi apabila dapat memberi persembahan kepada penonton.

“Terima kasih kepada semua yang menjayakan konsert ini, saya sangat gembira dengan keadaan cuaca yang baik dan dapat beraksi di hadapan ribuan penonton,” katanya.

Pemilik nama sebenar Syed Ismail Syed Ibrahim itu mengakui dirinya terasa seperti hendak pitam selepas mengadakan persembahan selama hampir satu jam tersebut.

“Saya terasa seperti hendak pitam tetapi gagahkan diri juga untuk peminat-peminat yang sentiasa berdiri memberi sokongan kepada kumpulan XPDC.

“Biarpun, terasa pancit tetapi tetap ingin meneruskan persembahan. Selagi diberi kesempatan saya akan terus memperjuangkan muzik rock bersama teman-teman yang lain. Saya akan sentiasa setia bersama rock,” luah hati lelaki berusia 50 tahun itu yang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Penutup malam penuh bermakna bagi gandingan dua gergasi kumpulan Metal tanah air itu berakhir dengan Cromok dan XPDC bergabung memetik gitar solo melantunkan lagu Bahalol dalam menghangatkan suasana konsert.

Post a Comment

Previous Post Next Post