Penyanyi Ara Johari menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya sudah mula 'demand' dari segi bayaran selepas lagu Warkah Untukku berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32), baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari, 20 harga bayaran untuk setiap persembahan yang dijayakan juga diputuskan pihak pengurusannya, Rocketfuel.
"Soal letak harga atau tidak bukan keputusan saya kerana ia ditetapkan pengurusan.
"Saya juga tidak boleh membantah keputusan pengurusan jika ada penganjur yang tidak berpuas hati dari segi harga yang ditetapkan kerana saya bernaung di bawah label mereka.
"Apa yang saya janjikan, harga ditetapkan pengurusan juga berbaloi dengan persembahan dijayakan," katanya.
Ara digilap bakatnya menerusi program realiti AF2016 berkata dia juga tidak menyangka popularitinya naik mendadak ketika ini.
"Alhamdulillah, rezeki juga tidak pernah putus selepas AJL32.
"Terus terang, ia adalah 'platform' terbaik saya untuk mengembangkan bakat sedia ada.
"Saya juga tidak sangka peluang datang begitu cepat tetapi saya sudah nampak perjalanan karier seni bermula dari bawah sehinggalah dikenali seperti sekarang," katanya.
Bagaimanapun, Ara mengakui turut berdepan tekanan untuk menghasilkan single baru selepas Warkah Untukku.
"Selepas populariti Warkah Untukku, saya juga percaya peminat menjangkakan lebih hebat pada single terbaru nanti," katanya.
Ara juga mempunyai single kedua bertajuk Bunga yang dihasilkan tahun lalu.