Syatilla Melvin tumpang tuah anak


Syatilla Melvin bahagia bersama suami, Shaheizy Sam dan anak , Syeriv Samheizy.

Sejak melahirkan cahaya mata sulung pada Mei tahun lalu, kemunculan pelakon jelita Syatila Melvin di kaca televisyen dilihat semakin ‘hilang’ berbanding sebelumnya.

Tidak menafikan dia memperlahankan kerjaya demi memberi fokus kepada keluarga, isteri kepada aktor Shaheizy Sam itu turut memberitahu bakal membuat kemunculan semula dalam tempoh terdekat.

Namun, kesediaan mewarnai semula pentas seni bergantung kepada keadaan dan kesanggupan untuk berenggang dengan anaknya, Syeriv Samheizy yang kini berusia lapan bulan.

Pada masa sama, meskipun masih bayi, Syatilla turut tidak menafikan anaknya itu telah menerima pelbagai tawaran tidak mengira sama ada sebagai model mahupun duta produk.

Katanya, setiap peluang yang ada diterima agar dapat menjadi simpanan dan perancangan masa depan anaknya sekiranya keadaan ekonomi mencengkam.



KOSMO!: Sejak melahirkan cahaya mata pada Mei lalu, Syatilla Melvin seakan hilang daripada radar hiburan seni tanah air. Mengapakah perkara itu berlaku?

SYATILLA MELVIN: Tidak dinafikan kerjaya seni bergerak agak perlahan kerana ia merupakan pilihan saya. Keputusan itu juga telah mendapat persetujuan daripada suami, Shaheizy Sam. Dia tidak mempunyai masalah untuk saya memberi fokus kepada keluarga terutama melihat proses tumbesaran cahaya mata pertama kami, Syeriv Samheizy.

Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif semula dalam dunia lakonan?

Melihat kepada keadaan, saya cuba sedaya upaya untuk kembali aktif berlakon semula dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, ia bergantung kepada perancangan. Meskipun saya tidak aktif dalam bidang lakonan, kehadiran Syeriv Samheizy secara tidak langsung telah menampakkan saya aktif terutama di media sosial.

Sebelum ini terdapat sebuah video yang dimuat naik di Instagram bersama Syeriv telah mengundang kritikan pengguna media sosial. Bagaimanakah reaksi anda?

Dalam video tersebut, saya tidak menggoncang tangan Syeriv terlalu kuat hingga mendatangkan kemudaratan. Begitupun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang banyak memberi nasihat dan teguran terhadap video terbabit. Saya sedar pengikut Syeriv di Instagram semakin meningkat dan memberi implikasi dia mempunyai pengikut tersendiri. Tambahan, saya sendiri tidak memarahi peminat yang memberi teguran kerana tiada apa perlu diperbesarkan.

Bagaimanakah reaksi anda melihat populariti yang diterima oleh Syeriv meskipun usianya kini baharu mencecah lapan bulan?

Dia kelihatan menyerlah mungkin kerana penglibatan kami, suami isteri dalam dunia seni. Namun, apa yang boleh saya katakan, Syeriv bukan sahaja mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik tetapi banyak membuka pintu rezeki kepada keluarga. Mengakui kini saya banyak menumpang tuahnya. Alhamdulillah Syeriv banyak menerima tawaran menjadi model dan duta produk kanak-kanak. Disebabkan itu saya telah membuat perancangan untuk mengeluarkan rekaan baju Melayu di bawah jenama Mat Yip (nama panggilan Syeriv) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.



Tidakkah tindakan anda itu dilihat seperti mempergunakan anak sendiri demi meraih keuntungan peribadi?

Perkara seperti itu tidak timbul kerana ini semua merupakan rezeki. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang terutama melibatkan keadaan ekonomi. Bagi saya, ia merupakan rezeki Syeriv dan sebagai ibu bapa kami pastinya akan menitikberatkan soal tumbesarannya. Bukan bermaksud tamak atau mengambil semua peluang yang ada tetapi sementara masih ada rezeki dan tawaran bersesuaian dengan keadaan, ia tidak menjadi kesalahan.

Bagaimanakah reaksi anda sekiranya khalayak menggelarkan ia sebagai ‘jual anak’?

Secara peribadi saya telah membincangkan perkara ini dengan suami. Saya tiada niat untuk mempergunakan anak sendiri semata-mata meraih kesenangan diri sendiri. Terus terang saya melakukannya untuk simpanan masa depan terutama melibatkan ekonomi. Wang tersebut digunakan untuk simpanannya kerana kita sendiri tidak mengetahui apa yang bakal berlaku kelak. Selain itu, sekadar pendapat peribadi, sekiranya orang lain mendapat peluang yang sama, mereka pasti membuat keputusan serupa seperti saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post