Tidak mustahil, setiap orang pernah dijentik rasa berputus asa. Kecewa dengan diri sendiri, resah dengan kerjaya yang tidak serasi dengan jiwa serta pasrah dengan segala-galanya yang tidak kena.
Cuma, kejayaan untuk kembali bangkit mengatasi rasa tewas yang membungkam itu sememangnya cukup manis untuk diterjemahkan dengan setiap susun atur aksara. Tidak perlu diiktiraf seantero dunia, asalkan ia mengundang kepuasan diri juga sudah memadai membentuk garis senyum.
Kecederaan koyak ligamen lutut kanan juga pernah menyebabkan aktor pujaan wanita, Syafiq Kyle merenung masa depan yang tiba-tiba kelam. Punca rezeki untuk bergelar pemain bola sepak tatkala menyarung jersi skuad bola sepak Kuala Lumpur pada waktu itu diragut dalam sekelip mata. Andai dia menyerah kalah pada waktu itu, mungkin nama Syafiq tidak mekar mewangi seperti mana sekarang.
“Semua orang pernah rasa mengalah dan ia satu tindakan yang mudah. Penat yang membuatkan kita kecewa tanpa sedar berbaloi atau tidak untuk dilakukan segala-galanya bergantung pada masa. Bukan apa, kita sendiri yang rugi jika mudah mengibarkan bendera putih,” getusnya membuka bicara kepada Sensasi Bintang.
Memilih haluan berbeza daripada padang bola sepak kepada layar kaca juga dihadam sebaik mungkin oleh jejaka bernama Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 25, lantaran neraca hidup perlu sentiasa berpaksi pada garis seimbang.
“Apabila sudah berada dalam industri, sudah tentu privasi hidup tidak lagi sama. Sementelahan pula, dugaan dalam industri juga bukan calang-calang apabila ada saja wajah baharu yang muncul saban hari.
“Sokongan keluarga dan diri sendiri merupakan antara senjata efektif untuk mengatasi perasaan sebegitu. Pendek kata, mengalah memang mudah, bagaimana untuk bangkit daripada masalah itu terletak kepada diri sendiri,” ungkapnya penuh makna.
Eksklusif
Bakal memasuki set penggambaran filem Gol & Gincu 2 bersama Diana Danielle, Ummi Nazeera, Sharifah Amani, Aedy Ashraf dan ramai lagi tidak lama lagi, Syafiq memanjat rasa syukur dengan perubahan rona jadualnya yang semakin padat.
“Alhamdulillah, ini semua rezeki yang perlu dibuat dengan baik, jadi ambil dan tolak tawaran dengan cara yang elok. Segalanya bergantung bagaimana kita memberikan reaksi berhubung perkara itu,” ceritanya lagi.
Cuma, jejaka ini tidak menolak kemungkinan untuk mengehadkan penampilannya di layar kaca sepanjang tahun ini dan dia memiliki alasan konkrit berhubung perkara itu.
“Tidak guna ambil semua tawaran, namun gagal memberikan yang terbaik. Drama penting untuk survival, namun apabila terlalu banyak, lakonan akan menjadi statik.
“Saya sendiri yang risau dan bukan kerana memikirkan orang lain bosan kerana berlakon drama yang banyak tetapi tidak memberikan impak pun tak guna.
“Kenapa perlu mengejar populariti kerana konsisten lebih penting berbanding kemuncak, jadi perlu keluar daripada zon selesa,” katanya yang bakal muncul dalam drama terbaharu berjudul Tak Ada Cinta Sepertimu bersama Zahirah McWilson tidak lama lagi.
Keputusan Syafiq untuk lebih fokus di layar perak termasuk tampil dalam filem sulung berjudul Langsuir bersama Hannah Delisha juga merupakan antara langkah-langkah kecil arakian pemuda itu turut menimba ilmu dalam bidang pengarahan ketika zaman kampus.
“Sudah tentu impian untuk menembusi pasaran Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina insya-Allah sentiasa bermain dalam jiwa kendatipun tidak menetapkan sebarang sasaran usia menuju ke arah itu.
“Harus diingat, tawaran lazimnya tiba ketika kita masih belum bersedia,” ungkapnya melakar nada matang ketika berbicara.
Tidak hairanlah, Syafiq turut merebut peluang apabila mula berjinak-jinak dalam dunia bisnes produk mask kecantikan jenama Kylez Lab bersama rakan kongsi yang akan dilancarkan dalam bulan ini juga.
“Bisnes ini dianggap sebagai percubaan dan enggan sekadar syok sendiri. Apa yang saya perhatikan, majoriti pengikut saya merupakan remaja, jadi saya mahu bisnes ini memberikan manfaat buat mereka.
“Kami mendapatkan bekalan berkualiti dari Korea Selatan dan ia sesuai digunakan lelaki dan wanita,” ceritanya lagi.
Cinta
Sebelum menyimpul bicara, sengaja mengajak pemuda ini bersembang soal cinta terutamanya apabila dikaitkan dengan Hannah tidak lama dahulu.
“Tipu jika saya kata tidak berkawan dengan sesiapa, tetapi memang cukup sibuk dan tidak ada masa untuk bercinta. Yang cuba mengenali pun memahami dan usaha untuk mencari jodoh tidak pernah terpadam, insya-Allah.
“Kisah bersama Hannah bukan menyukarkan kerana ia satu cerita yang tidak ada dan cuba diada-adakan kerana kami selesa bersama-sama apabila terlibat dalam sesi penggambaran drama dan filem yang panjang sebelum ini,” ungkapnya.
Syafiq memberitahu, terserah kepada interpretasi khalayak memandangkan cinta lokasi itu cukup subjektif.
“Tidak banyak yang boleh dilakukan jika bercinta di lokasi penggambaran, sebaliknya sekadar berkongsi idea untuk menghidupkan watak dalam drama.
“Perasaan segan untuk bercinta di depan kamera tidak semudah apa yang disangkakan dan jika perasaan itu dibawa ke luar ia bukan lagi cinta lokasi namanya,” ujarnya seraya menoktah bicara.