Selepas berteka teki, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal dikurniakan cahaya mata perempuan.
Lebih istimewa, perkongsian itu dibuat sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-39, hari ini.
Pengumuman itu dikongsikan oleh pelantun lagu Segala Perasaan ini menerusi satu rakaman video di laman Instagramnya (IG), hari ini.
“Insya-ALLAH, apa yang kami nanti-nantikan, rezeki untuk cahaya mata kali ini …dan doktor telah mengesahkan kandungan Siti adalah seorang puteri.
“Ya, doakan semoga puteri kami sihat, sempurna dan menjadi anak yang solehah, Insya-ALLAH.
“Bagi saya, inilah hadiah paling bermakna, iaitu zuriat yang bakal dilahirkan, pada Mac nanti,” katanya.
Siti diijabkabulkan dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Sebelum itu, Khalid sudah pun memiliki empat anak lelaki iaitu Muhd Anas Zawawi, Muhammad Adib, Muhammad Asyraf dan Muhammad Aazief, hasil perkahwinan terdahulu.
Pada masa sama, penyanyi lagu Jaga Dia Untukku ini turut merakamkan ucapan penghargaan yang diterima sempena ulang tahun kelahirannya.
“Terima kasih kepada semua yang mengucapkan happy birthday untuk saya.
“Alhamdulillah, Siti sangat berterima kasih dan doakan semoga semuanya selamat, ” katanya.