Remy Ishak Tiada siapa boleh desak soal kahwin


Remy Ishak tetap mempertahankan status tunangnya, Ezza Yusof yang didakwa sudah pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Soal pernikahan sudah tentu menjadi penantian dalam kalangan peminat Remy Ishak yang pastinya tidak sabar melihat aktor itu mendirikan rumah tangga selepas lapan bulan bergelar tunangan orang.

Bagaimanapun, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak masih dalam fasa tidak perlu terburu-buru dalam soal kahwin. Alasannya, dia sentiasa percaya pada ketetapan Tuhan yang selalunya tepat pada satu-satu masa.
Terdahulu, pelakon berusia 36 tahun itu telah mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Ezza Yusof pada Mei lalu.

Ikuti temu bual bersama pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu yang turut menjelaskan tentang isu tular tunangnya yang didakwa pernah mendirikan rumah tangga seperti tersebar di laman sosial baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Remy berikan komen sedikit tentang isu tular membabitkan tunang anda yang didakwa netizen pernah mendirikan rumah tangga dan sudah mempunyai seorang anak?

REMY ISHAK: Dia belum pernah kahwin. Dahulu pun sama juga apabila ada orang cakap dia seorang janda. Dia mahu bersuara tetapi saya sarankan kepadanya supaya diam sahaja.

Ia bukanlah bermakna segala kenyataan perlu keluar daripada mulut saya sahaja, bahkan juga boleh memberi kenyataan tetapi apa-apa perkara perlulah berbincang terlebih dahulu.

Sebab dia bukan selebriti, jadi saya tidak mahu dia terheret sekali dalam dunia sekarang yang bahayanya ada di mana-mana terutama kuasa media sosial pada masa kini.

Jadi, bila agaknya anda akan berkongsi berita gembira tentang perkahwinan kalian?

Kahwin kena pakai banyak duit sebab semua itu kos. Sekarang masanya untuk saya mengumpul wang terlebih dahulu sebab saya pun bukan orang kaya. Kerja sebagai pelakon juga memerlukan saya mencari naskhah yang bagus dan ia bukannya selalu datang bergolek.

Secara tidak langsung situasi ini menjadikan saya bukan seorang yang berduit sangat. Untuk itu, saya perlu kumpul wang tetapi apabila saya cakap mahu kumpul wang, itu tidak bermakna perkahwinan saya akan diadakan secara besar-besaran.

Kalau boleh, saya mahu buat depan rumah dan pacak khemah sahaja. Cuma kalau berbicara soal kahwin, ia sama konsepnya seperti ibadah umrah. Kalau kita sudah ada wang yang cukup tetapi kalau Tuhan tidak membuka jalan, kita tetap tidak akan sampai ke Mekah. Sama konsepnya dengan kahwin. Sebab itu saya sentiasa percaya kepada jodoh.



Kata orang, tempoh bertunang adalah fasa sukar untuk ditempuh. Apa komen anda?

Dugaan itulah yang saya mahu lalui. Sebab cabaran-cabaran sewaktu bertunang akan menguatkan ikatan. Kalau semua ini tidak boleh didepani, maknanya saya tidak boleh pergi ke peringkat seterusnya yang lebih mencabar iaitu alam perkahwinan.

Bagaimana pula dengan penerimaan tunang anda?

Dia perlu faham situasi saya sebab kami akan naik kapal sama-sama. Saya mempunyai banyak tanggungjawab kerana ada keluarga yang perlu ditanggung dan saya satu-satunya anak lelaki dalam adik-beradik.

Alhamdulillah, dia sangat memahami dan tidak pernah mendesak soal kahwin. Soal ini perlu dilakukan secara profesional sebab apa-apa keputusan berada di tangan saya. Kalau saya sendiri tidak meletakkan apa-apa keputusan tentang kahwin, tiada sesiapa boleh mendesak.



Baiklah, boleh kongsikan tentang perkembangan terkini anda?

Saya bakal muncul menerusi drama bersiri berjudul DO[S]A untuk siaran Astro Citra (131) pada 14 Februari depan. Selepas ini saya bakal turun ke set penggambaran filem Proxy bersama barisan pelakon seperti Bront Palarae, Sangeeta Krishnasamy dan Asyraf Sinclair.

Post a Comment

Previous Post Next Post