Mohd Mentor tubuh syarikat muzik, lancar single


Juara program Mentor musim keempat lalu, Mohd mahu menjadikan tahun 2018 sebagai tahun terbaik buatnya untuk terus mengembangkan kerjaya seni.

Bekas protoge kepada Ziana Zain itu turut menambah, sebagai permulaan, dia kini sedang dalam proses untuk mencari bakat baru bagi mengisi barisan artis yang bakal berada di bawah naungan syarikat muziknya sendiri, Havana Music.

“Alhamdulillah, sekarang saya sedang mengatur misi untuk mengembangkan syarikat pengurusan muzik, Havana Music yang sudah pun ditubuhkan lebih tiga bulan lalu. Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik dan kami kini merancang untuk mengambil beberapa bakat baru sebagai artis rakaman. Sudah ada individu terpilih cuma kami masih mahu kenal pasti mana satu penyanyi yang benar-benar berbakat,” katanya optimis.



Mohd atau nama sebenarnya, Mohd Izwan Mohd Nor, 29, ditemui Sinar Harian sejurus sambutan ambang 2018 di Restoran D’Empangan Udang Galah, Putrajaya. Turut sama hadir memeriahkan program tersebut ialah barisan artis dari Yayasan Artis Veteran Malaysia selain penyanyi generasi baru seperti Azharina, Ayu Damit, Isma AF dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Segalanya turut merancang mahu melancarkan single baru Februari depan.

“Ikutkan perancangan juga, Februari nanti saya akan lancarkan single baru. Masih dalam proses untuk siapkan liriknya. Judul pun belum ada lagi. Cuma saya memang rancang mahu lancarkan single berkenaan secepat mungkin. Tiada niat untuk mahu bersaing dengan penyanyi sedia ada, tetapi saya cuba teruskan kecintaan saya terhadap nyanyian dengan menerbitkan produk baru buat pencinta muzik tempatan,” kongsinya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post