Menutup kalendar tahun 2017 dengan berita sedih apabila ikatan rumah tangga yang dibina terlerai di tengah jalan, penyanyi Mimi Fly memandang 2018 sebagai waktu untuk memulakan kehidupan baharu.
Meskipun masih dalam tempoh berduka, tetapi pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham, 30, mahu menjadikan tahun ini sebagai medan menghangatkan kembali industri apabila bakal muncul dengan single terbaharu.
Pada 23 November lalu, Mimi mengaku telah bercerai dengan bekas suami merangkap pengurusnya, Mohd. Firdaus Hajar selepas dua tahun berkahwin. Mereka mendirikan rumah tangga pada 16 Mei 2015.
Tidak berkongsi sebab mengapa ikatan rumah tangga mereka terlerai, ia telah membuatkan beberapa pihak menimbulkan spekulasi tidak benar tentang dirinya dan bekas suami sekali gus membuatkan dia sedikit tertekan kerana perkara tersebut telah berlalu.
Ikuti penjelasan perkara tersebut daripada penyanyi kumpulan One Nation Emcee (ONE) itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini selain berkongsi tentang perancangan kariernya pada tahun 2018.
KOSMO!: Baru-baru ini, Mimi ada mendedahkan sudah bercerai dengan bekas suami. Boleh ceritakan sedikit tentang perkara itu?
MIMI FLY: Betul, kami sudah bercerai baru-baru ini. Ia masih baru berlaku, dalam bulan ini juga. Kami berpisah kerana sudah tidak mempunyai persefahaman selain memiliki haluan hidup yang berbeza.
Sebelum itu, saya dan bekas suami sudah tidak tinggal sebumbung sejak Oktober lalu. Saya akui pada awalnya memang agak sukar dan mengambil sedikit masa untuk melaluinya tetapi gerak hati kuat mengatakan pengakhiran hubungan kami adalah dengan cara begini.
Anda ada mengeluarkan kenyataan agar pihak di luar sana tidak membuat sebarang spekulasi tentang perceraian kalian. Boleh jelaskan tentang perkara itu?
Sejak saya umumkan sudah bercerai, ada timbul beberapa spekulasi yang tidak benar tentang kami. Apa yang timbul itu semuanya tidak benar. Kami berpisah secara baik dan mengambil keputusan ini secara rasional, bukannya mengikut kata hati. Tiada unsur curang antara kami. Sepanjang hidup bersama, kami tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah. Cuma mungkin jodoh kami setakat ini sahaja.
Kami tahu apa yang dilakukan dan masing-masing faham kehendak diri sendiri. Sebab itu saya mohon pihak di luar sana jangan memanjangkan cerita kerana kalian tidak tahu apa yang kami lalui. Hormati keputusan dan hidup kami. Biarlah kami jalani hidup ini dengan cara masing-masing secara tenang.
Isu keretakan rumah tangga anda sudah lama diperkatakan dan mengapa sebelum ini mengambil langkah berdiam diri?
Selama ini saya sedar khabar angin tentang keretakan hubungan kami telah dihidu ramai pihak. Bukan niat untuk menyembunyikannya melainkan saya mahu menjalani fasa sukar itu dengan tenang tanpa ada gangguan.
Pada masa sama, saya tidak mahu orang di luar tahu tentang kehidupan saya yang tidak memberi inspirasi kepada sesiapa pun. Ketika itu saya sedang bergelut dengan proses perceraian dan turun naik mahkamah. Saya mahu fokus kepada kepentingan diri sendiri terlebih dulu. Apabila semuanya sudah selesai, barulah saya bersedia untuk mengumumkannya.
Kami berdua mempunyai cara masing-masing untuk meneruskan kehidupan selepas perpisahan. Saya tidak mahu menimbulkan pergaduhan dan salah faham selepas ini.
Bagaimanakah cara anda mendepani hari mendatang selepas perceraian?
Saya seorang yang sangat sensitif tetapi Alhamdulillah setakat ini okey sahaja. Memang mula-mula berasa sedih tetapi lama-kelamaan saya perlu kuatkan diri. Selama mendiamkan diri, saya banyak lalui suka dan duka secara bersendirian. Saya bukan lagi bergelar isteri kepada sesiapa dan tidak kisah dengan apa gelaran yang orang mahu panggil. Ia bukan perkara penting untuk difikirkan kerana saya menjalani hidup ini seperti sediakala.
Baiklah. Beralih kepada karier anda sempena permulaan tahun baharu ini?
Alhamdulillah, dalam bulan ini saya akan muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Superfly. Lirik dicipta sendiri oleh saya dan ia masih lagi mengekalkan identiti saya sama seperti sebelum ini iaitu dance dan rancak. Untuk tahun ini, saya kembali aktif menyanyi selain mahu memperkuatkan jenama Mimi Fly kerana ONE dalam fasa berehat.
Jadi ini adalah masa untuk saya bergerak secara solo. Dalam masa sama, saya juga akan mengeluarkan sebuah lagu duet bersama penyanyi Singapura, Ryan Suffian berjudul Gila. Selain karier, apa yang saya harapkan untuk tahun ini adalah sebuah kehidupan baharu yang jauh lebih baik untuk dilalui meskipun sudah solo.