Langkah mula Danish Akasyah


Bermula sebagai penyanyi seawal usia lima tahun dengan menyertai program Bintang Kecil RTM pada tahun 2007 telah memberi ruang dan pengalaman manis buat anak kelahiran Perlis, Danish Akasyah.

Bagi Danish, 14, penyertaan tersebut membuka pintu rezekinya apabila kerap menerima undangan persembahan nyanyian daripada Istana Negeri Perlis.

“Saya memang aktif bernyanyi sejak kecil dengan menyertai banyak pertandingan di sekolah sehingga peringkat kebangsaan.

“Tidak sangka pula rezeki semakin banyak apabila kerap diundang menyanyi di hadapan Raja Perlis dan Menteri Besar. Itu adalah pengalaman manis yang berjaya saya kutip walaupun masih muda,” ujarnya ceria membuka perbualan.

Biarpun masih di bangku sekolah, namun iltizam pendatang baharu itu untuk melakar cita-cita sebagai penghibur sejati begitu besar.

“Apa yang dilakukan ini bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya ia demi keluarga dan membanggakan tanah kelahiran. Daripada menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah, lebih baik buat kerja yang saya suka,” ujarnya tersenyum ceria.

Hadir dengan debut single berjudul Bukan Untuk Selamanya ciptaan Gito dan Khairul Anuar sebagai salam pengenalan, Danish meletakkan harapan tinggi agar lagunya diterima baik oleh peminat.

Mengulas tentang single tersebut, pemilik nama penuh Danish Akasyah Azimi itu mengakui dia tidak dapat lari daripada trend semasa pasaran muzik masa kini yang cenderung terhadap lagu-lagu balada.



Bagaimanapun, apa yang membezakan lagunya dengan lambakan lagu irama balada 1990-an lain adalah dari segi penulisan lirik.

“Ketika kali pertama mendengar lagu ini, saya terus jatuh cinta dengan genrenya. Malah, liriknya juga sangat ringkas dan mudah difahami peminat.

“Biarpun genrenya lebih kurang sama dengan kebanyakan lagu lain tetapi saya mahu kelainan dari sudut penulisan lirik dengan menggunakan bahasa yang mudah,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar, Perlis.

Meski masih baru, siapa sangka bahawa Danish sebenarnya mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa artis popular seperti penyanyi Khai Bahar dan pelawak Allahyarham Yus Raja Lawak.

Berkawan kerana ikhlas dan tidak pernah meletakkan sasaran untuk menumpang populariti, itu prinsip yang dipegang Danish dalam menjalin hubungan baik dengan sesiapa pun.

“Contohnya dengan Khai, hubungan baik saya dengan dia bukanlah untuk menumpang populariti tetapi sebenarnya saya ambil dari sudut positif untuk mematangkan karier.

“Saya banyak bertanya dan belajar daripada dia tentang selok-belok dunia nyanyian selain berkongsi pengalaman persembahan yang dilakukannya. Setidak-tidaknya ia mampu menambah ilmu dan keyakinan saya,” jelas anak bongsu daripada dua beradik itu optimis.

Lebih manis, dia juga berpeluang mengadakan persembahan bersama beberapa artis popular seperti Lan Solo (bekas vokalis Kristal) dan Aisyah Aziz.

Post a Comment

Previous Post Next Post