Hairul Azreen Ini pengajaran buat saya


Hairul Azreen tiba di IPD Perak Tengah, semalam.

“Ini pengajaran buat saya dan saya akan ingat sampai bila-bila...,” kata pelakon, Hairul Azreen Idris, 30, selepas dilepas dengan jaminan polis, semalam berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen dalam kejadian di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, dua tahun lalu.

Video menembak itu tular di laman sosial sejak empat hari lalu, menunjukkan aksi pelakon itu melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke udara.

Beliau yang ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, selepas selesai memberi keterangan berkata, dia tidak mengetahui tindakannya melepaskan tembakan menggunakan senapang patah milik bapa saudaranya itu adalah satu kesalahan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tanpa dirancang ketika dia pulang ke kampungnya di Pantai Remis dan menziarahi kediaman bapa saudaranya di kampung berkenaan.



“Kebetulan ketika itu pakcik saya sedang lakukan operasi menembak haiwan perosak di kebunnya, jadi bila saya tengok tu, saya teringinlah nak cuba, itu sahaja.

"Pakcik saya memang ada lesen senjata api untuk itu,” katanya.

Juara Fear Factor Malaysia Musim 1 itu berkata, kejadian itu memberi pengajaran kepadanya bahawa mana-mana individu tidak boleh sewenangnya mengendalikan senjata api, meskipun mempunyai kemahiran, apatah lagi sekadar untuk mencuba.

Ditanya mengenai video tular tersebut, pelakon itu mengetahui kewujudan video itu dan menyedari tindakannya dirakam, namun sama sekali tidak menyangka ia adalah satu kesalahan.

“Saya pun tak tahu kenapa baru sekarang video itu tular, sedangkan kejadian tu dah lama, benda dah nak jadikan. Apa-apa pun saya ambil ini sebagai iktibar,” katanya.



Pelakon yang popular menerusi drama Misiku Kuza ini memaklumkan, proses mengambil keterangan berjalan lancar dan polis memberi penerangan lebih lanjut mengenai penggunaan senjata api dari sudut undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mengambil tindakan segera bagi mengelak video tular berkenaan terus tersebar.

Katanya, pemilik lesen senapang patah jenis SK500 berusia 70 tahun telah tampil beri keterangan, kelmarin.

“Senjata api yang digunakan telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Senjata Api 1960. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 39 akta yang sama,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post