Hafiz Hamidun bukan punca


“Kami tak salahkan Hafiz Hamidun”.

Begitu kata anggota kumpulan Mirwana, Hafiz tampil mewakili kumpulannya menjelaskan selepas timbul gosip dalam sebuah akhbar mingguan bahawa kumpulan itu menyalahkan Hafiz Hamidun selaku komposer lagu baru mereka, Cinta Bukan Mainan menjadi punca lagu itu kurang mendapat sambutan.

Hafiz atau Muhammad Hafiz Tamizi, 37, berkata, Mirwana sememangnya tertanya-tanya mengenai situasi lagu mereka yang kurang mendapat sambutan namun tidak pernah menyalahkan Hafiz, bahkan menafikan apa yang berlaku ada kaitan dengan kontroversi rumah tangga penyanyi dan komposer itu.

“Saya sendiri pun tak pasti, siapa sumber yang memberikan gosip kepada akhbar itu. Saya tak nafikan, kami (Mirwana) tertanya-tanya, kenapa lagu itu kurang mendapat sambutan sedangkan kami sudah mengikut semua perancangan dan rangka promosi untuk lagu itu.

“Tapi, tidaklah kami menyalahkan Hafiz Hamidun. Hubungan kami dengannya juga tak pernah ada sebarang masalah sepanjang perkenalan,” katanya, hari ini.

Tambah Hafiz, mereka mungkin ada bergurau mengenai judul lagu itu dan kisah rumah tangga Hafiz tapi sekadar gurauan sesama teman-teman.

“Kalau ada bergurau pun, kami akan sebut judul lagu itu contohnya, jangan bermain dengan cinta dan sebagainya.

“Tapi, tak pernah pula kami salahkan apa yang berlaku dalam kontroversi rumah tangga Hafiz Hamidun adalah punca kenapa lagu itu tak mendapat sambutan,” katanya.



Hafiz Hamidun dihubungi berkata, dia terkejut apabila membaca keratan akhbar itu dan berkongsi mengenainya di Instagram miliknya.

“Memang saya terkejut. Saya dah kenal Mirwana sejak 10 tahun lalu dan ini kali pertama kami bekerjasama untuk lagu.

“Saya tak mahu kenyataan sebegini merosakkan hubungan kami yang tak pernah ada masalah pun selama ini,” katanya.

Tambah Hafiz, mungkin gurauan antara anggota Mirwana itu diterjemahkan dalam bentuk berbeza oleh orang luar.

“Kadang-kadang, ada gurauan kita hanya difahami oleh teman rapat. Tapi, ada pihak lain yang mempunyai interpretasi berbeza mengenainya,” katanya.

Hafiz akan berbincang dengan Mirwana untuk mendapatkan penjelasan keadaan sebenar.

Dalam ruangan gosip dalam akhbar mingguan terbabit, Mirwana dikatakan tidak berpuas hati apabila lagu Cinta Bukan Mainan tak mendapat sambutan.

Post a Comment

Previous Post Next Post