Elfira berkongsi pandangan mengenai selebriti yang mengalami masalah kemurungan.
Pelakon dan usahawan, Elfira Loy berpendapat sesetengah selebriti mungkin mengalami masalah kemurungan atau tekanan disebabkan tidak ada tempat untuk meluahkan perasaan.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, berkata dia sangat bertuah kerana memiliki keluarga yang akan mendengar segala masalahnya.
"Saya bertuah ada keluarga yang memahami. Setiap kali saya nak marah, saya dapat luah dan berbincang dengan mereka kemudian selesai.
"Tapi bagi sesetengah selebriti, kemurungan ini mungkin sebab simpan dalam hati, kalau luah dekat orang takut salah anggap, tak boleh terima seseorang idola itu buat salah.
Elfira meluahkan dan berbincang dengan keluarga mengenai masalahnya.
"Bila sampai satu tahap, dia nak lepaskan dan tunjuk pada semua masalah yang sudah lama disimpan seorang," kata Elfira kepada mStar Online.
Elfira ditemui ketika Festival Go Gegaria 2018 anjuran Media Prima yang berlangsung di Perkarangan Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Sabtu.
Pelakon drama Kerana Syurga Bukan Percuma ini diminta mengulas mengenai masalah tekanan dan kemurungan yang berlaku di kalangan selebriti.
Kata Elfira, dia pernah melalui keadaan tekanan namun dia tahu bagaimana untuk mengawal perasaan tersebut.
Elfira Loy.
"Tipulah kalau saya tak pernah berasa perasaan itu tapi Alhamdulillah saya tahu macam mana nak kawal. Benda ini kembali pada lumrah hidup.
"Bila kita sedih, kita kembali mengingati dan berdoa pada Allah bukan orang lain. Bagi saya, dengan cara itu saya lebih rasa tenang dan baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Elfira juga berkongsi mengenai pengaruh di media sosial yang sewajarnya diikuti masyarakat.
Baginya, setiap orang mempunyai hak untuk berkongsi apa sahaja namun ia akan mencerminkan diri kita sendiri.
"Itu adalah hak kita tapi kalau kongsi perkara yang negatif, sudah tentu sebar benda yang tak elok. Kalau memuat naik sesuatu positif, jadilah benda itu baik.
"Jadi saya rasa, platform media sosial ini adalah benda yang relect pada diri. Kalau kita selalu cerita benda naik, maknanya baik lah.
"Begitu juga sebaliknya. Ini adalah salah satu cara untuk kita menggambarkan diri sendiri melalui laman sosial," katanya.