Daus Eli ingin dikenali semula


Selepas hampir tujuh tahun menghilangkan diri dari radar industri hiburan tanah air, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus kembali berusaha merebut tempat sebagai penyanyi.

Kemunculan single pertama bertajuk Kenapa menjadikan nama Daus atau Muhd. Shahril Firdaus Eli berjaya meletakkan diri menerusi pencalonan Artis Baru Popular pada acara Anugerah Bintang Popular 2010.

Kemudian Daus mengeluarkan single kedua berjudul Akhir Waktu sekitar 2011, namun lagu berkenaan kurang mendapat sambutan sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat.

Sekian lama menyepi, Daus Eli kini muncul dengan lagu baharu bertajuk 1000 Rasa Cinta yang dihasilkannya sendiri bersama penghibur popular Sarawak, Knowno.

Dia menaruh harapan agar lagu berentak rancak dengan gabungan elemen rap itu menjadikan dia kembali diterima semula oleh khalayak terutama peminat di Semenanjung Malaysia.

“Meskipun nama tidak popular atau dikenali seperti tujuh tahun lalu, namun saya bersyukur masih menerima undangan persembahan terutama di sekitar kawasan Sarawak.

“Disebabkan sambutan peminat di Sarawak amat menggalakkan, saya mengambil keputusan untuk mencuri tumpuan peminat di Semenanjung sekali gus menumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian,” kata suami kepada Syaza Shamimi itu.



Penyanyi berusia 29 tahun itu juga berterima kasih kepada peminat yang memberi sokongan terhadap lirik video lagu 1000 Rasa Cinta yang telah dimuat naik sejak Oktober lalu.

Malah, dia terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada komposer muzik popular, Edry Abdul Halim mengenai single 1000 Rasa Cinta.

Hubungan baik antara mereka sewaktu terlibat dalam program realiti dulu membuatkan Daus menjadikan Edry sebagai guru dan penasihat sekiranya melibatkan kerjaya seni.

“Selepas lagu siap, saya memperdengarkannya kepada Edry bagi mendapatkan nasihat. Kemudian, dia menyarankan agar membuat beberapa susunan muzik lagu dan lirik bagi menjadikannya lebih menarik,” kata Daus.

Selain itu, dia turut merakam sendiri lirik video lagu 1000 Rasa Cinta yang menjalani penggambaran di Istanbul, Cappadocia (Turki), Athens, Santorini (Greece) dan London (England).

Setiap rakaman tersebut diambil sendiri sewaktu dia bercuti bersama isteri ke luar negara. Pada masa sama, Daus turut melakukan suntingan sendiri.

Katanya, perancangan untuk melancarkan single 1000 Rasa Cinta telah mendorongnya melakukan sendiri perkara tersebut selain memberi nilai sentimental buat dirinya.

“Sebelum ini saya memang mempunyai latar pendidikan tentang teknik suntingan dan rakaman video menerusi sebuah kursus pendek. Kemudian timbul minat dan saya berpendapat tidak menjadi masalah sekiranya melakukan sendiri lirik video lagu terbabit,” jelasnya.

Runut bunyi

Reaksi positif peminat membuatkan bapa kepada dua cahaya mata itu yakin terhadap usahanya membuat kemunculan semula meskipun berdepan dengan cabaran lambakan penyanyi baharu yang kebanyakannya remaja.

“Sukar untuk menduga perkara yang berlaku kepada setiap individu, sementelah kita semua hanya manusia biasa. Paling utama, saya yakin dengan rezeki masing-masing kerana apa yang penting ialah usaha keras.

“Tidak dinafikan kehadiran mereka mencetuskan persaingan, namun ia tidak membuatkan saya berasa tertekan atau memusuhi antara satu sama lain. Segalanya merupakan persaingan sihat serta menjadi pembakar semangat buat saya berusaha sehingga berjaya menambat hati peminat,” terangnya.

Selain berusaha mempromosikan lagunya di stesen radio, Daus turut mengharapkan agar single baharunya itu diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian.

Post a Comment

Previous Post Next Post