Biarpun masih kurang sinarnya untuk menghampiri sebutir bintang, namun terkandung sinaran itu di dalam diri empunya nama Wani Kayrie.
Bermula dengan lagu Jangan-Jangan, laluan awal itu membawa pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah, 17, itu hingga ke hari ini.
Walaupun bukan menjadi pilihan hati peminat seperti penyanyi baru yang kini sedang mencipta nama, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak menjadi tempat permainan sia-sia untuk Wani terus melangkah.
Namun, masih ada yang mempersoalkan siapakah wanita di sebalik nama Wani Kayrie itu.
Tidak menidakkan fakta yang ada, Wani mengharapkan karier nyanyiannya lebih bersinar pada tahun 2018.
“Saya sedar hakikat nama tidak begitu menyerlah walaupun sudah lama dalam industri muzik. Mungkin komitmen sebagai pelajar membataskan saya untuk sentiasa mempromosikan lagu dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya rasa inilah masanya saya menonjolkan diri dan berhabis-habisan mempromosi diri serta lagu nyanyian saya,” ujar Wani yang kini muncul dengan single baharu berjudul Aku Suka Kamu.
Menurut Wani, single keempatnya itu sudah dimuat naik di laman YouTube sejak empat bulan lalu, namun dia tidak berpeluang untuk melakukan sebarang promosi kerana sedang sibuk menghadapi peperiksaan SPM ketika itu.
“Ketika dekat peperiksaan SPM, guru besar memanggil saya ke biliknya dan meminta saya untuk fokus pada peperiksaan tersebut berbanding nyanyian. Malah, cikgu-cikgu juga risau dengan keputusan peperiksaan SPM saya. Maka, disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk berhenti sementara selama dua bulan dalam bidang nyanyian, sekali gus menghentikan promosi single baharu itu,” jelasnya yang turut menghasilkan gimik untuk lagu Aku Suka Kamu dengan menampilkan adiknya dalam lirik video lagu berkenaan.
Biarpun tidak melakukan sebarang promosi untuk single keempatnya itu, bahkan hanya menampilkan adiknya sendiri dalam lirik video lagu tersebut, namun Wani bersyukur kerana lagu baharunya itu mendapat sambutan yang baik daripada pendengar.
“Alhamdulillah, selepas single pertama Jangan Jangan mendapat sambutan, saya rasa lagu Aku Suka Kamu berjaya mengulangi kejayaan serupa. Sebabnya, single kedua saya iaitu Berteman Saja dan juga single ketiga berjudul Kumbang dan Bunga (duet bersama kumpulan Viral) kurang mendapat sambutan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Wani memberitahu, dia berhasrat untuk menghasilkan album yang terkandung semua lagu-lagu ciptaannya.
Bukan sekadar angan-angan, bahkan Wani sudah menyatakan hasratnya itu ke syarikat rakamannya, Suria Record (SRC).
“Selain berhasrat untuk menghasilkan album yang terkandung lagu-lagu ciptaan komposer, saya juga teringin untuk menghasilkan album yang terkandung lagu-lagu ciptaan sendiri. Saya sudah menyatakan hasrat tersebut kepada syarikat rakaman, malah sudah menghasilkan beberapa buah lagu dan memperdengarkannya kepada beberapa orang komposer. Alhamdulillah, mereka mengatakan saya berbakat, cuma perlu banyak belajar dari segi penulisan lirik,” ujarnya yang kini aktif kembali dalam sukan boling dan berhasrat untuk mewakili Malaysia dalam sukan berkenaan.
Bagi yang tidak tahu, selain berbakat dalam bidang nyanyian, Wani juga seorang atlit sukan boling dan pernah mewakili Selangor.