Pelakon, Siti Elizad mendedahkan pernah mengalami ketumbuhan cyst seberat empat kilogram dalam perutnya sebelum menjalani pembedahan dua tahun lalu.
Namun, Elizad, 33, berkata, ketumbuhan sama sebesar telur dikesan semula dalam perutnya tahun lalu.
“Bagi kes terbaru ini, saya belum buat pembedahan kerana terikat dengan jadual kerja yang padat. Saya hanya mengamalkan makanan organik sebagai langkah untuk mengurangkan pembesaran ketumbuhan ini.
“Alhamdulillah, selepas membuat pemeriksaan minggu lalu, cyst mengecut. Diakui perkara ini berpunca daripada faktor pemakanan harian,” katanya.
Menurut Elizad, ketumbuhan yang dialami juga antara faktor dia sukar hamil.
“Saya difahamkan cyst ini antara punca saya lambat hamil. Saya ada mencadangkan kepada doktor yang mana ingin membuang ketumbuhan ini sekiranya saya diberikan rezeki hamil dan apabila bersalin, cyst dikeluarkan sekali.
“Memang sedikit tertekan. Malah ketumbuhan ini membuatkan seseorang cepat loya,” katanya.
Pada masa sama, Elizad turut membuat pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi mengesan sebarang penyakit seperti barah.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik. Setiap kali menunggu hasil pemeriksaan doktor, saya pasti takut.
“Bimbang juga jika hasilnya positif. Sekarang ini semua orang mudah terdedah kepada penyakit. Jadi, cara terbaik adalah berhati-hati dalam soal pemakanan,” katanya.