Setahun Azharina Azhar siapkan album


Selepas menjuarai program nyanyian Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) sekitar penghujung tahun lalu, penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Azharina Azhar kembali ke studio rakaman bagi memulakan proses pembikinan album studio ketiganya.

Dibantu oleh Julfekar, komposer yang selama ini telah banyak berkolaborasi dengannya, Azharina, 32, mengambil masa selama hampir setahun sebelum lima buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut siap dirakam.

Azharina yang ditemui pada majlis pradengar kelima-lima buah lagunya di kediaman Julfekar di ibu kota baru-baru ini berkata, album yang masih belum diberikan judul itu mengambil masa lama untuk disiapkan kerana jadual kerjanya dan Julfekar yang agak sibuk.

Bagaimanapun, album yang masih mengekalkan konsep pop balada seperti dua album terdahulu iaitu Azharina (2002) dan Nina (2004) itu dijangka bakal memberi nuansa baharu dalam diskografinya sebagai seorang pelantun suara.

Selain itu, Azharina turut berharap agar buah tangannya yang dijangka diterbitkan pada Januari atau Februari depan dapat diterima oleh masyarakat dan dimainkan oleh stesen-stesen radio tempatan.


KOSMO!: Tahniah Azharina kerana telah berjaya menyiapkan rakaman bagi album studio anda yang ketiga. Bagaimanakah perasaan apabila mendengarkan hasil akhir kelima-lima lagu?

AZHARINA: Sejujurnya, saya gembira dan teruja. Maklumlah, sudah lama saya tidak menerbitkan album. Selepas album Nina, saya hanya memasarkan beberapa buah single sahaja. Justeru, selepas kemenangan di GV, saya berpendapat bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk menghadiahkan buah tangan baharu untuk peminat.

Boleh kongsikan sedikit mengenai proses pembikinan album ini?

Rencana pembikinan album ini telah bermula ketika saya masih bertanding dalam GV. Ketika itu, lagu pertama yang dicipta oleh Julfekar adalah Cinta Terbahagi Dua. Selepas bertanding, proses rakaman lagu bermula pada bulan Januari dan akhirnya selesai beberapa bulan lalu. Empat buah lagu lain yang telah siap dirakam ciptaan Julfekar termasuklah Kesetiaanku, Tetap Kan Abadi, Jemput Kenangan dan Kasih Abadi.

Apakah perbezaan album ini berbanding dua album terdahulu?

Secara keseluruhan, album ini menampilkan kematangan saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi suara, pemilihan lagu dan susunan muzik, peminat mungkin dapat mendengar sendiri kelainan yang saya dan Julfekar cuba ketengahkan. Dalam masa yang sama, kesemua lagu digubah dengan muzik string dan orkestra agar ia kedengaran mahal.

Mengapakah anda masih mengekalkan Julfekar sebagai komposer lagu-lagu baharu?

Dia merupakan individu yang begitu mengenali saya sebagai seorang penyanyi. Sejak berusia 15 tahun, iaitu sebelum saya menjuarai Bintang RTM pada tahun 2001, dia telah mula mendedahkan saya dengan bidang muzik. Ketika menyertai GV juga Julfekar banyak menyumbang idea bagi pemilihan lagu-lagu untuk konsert mingguan. Saya selesa bekerja dengannya dan teruja untuk berkolaborasi bagi projek terbaharu ini.

Nama Azharina begitu akrab dengan lagu Elegi Sepi yang dipetik daripada album Nina. Mengikut pendapat peminat dan khalayak, lagu tersebut begitu sukar untuk ditandingi dan banyak lagu-lagu anda yang gagal menyaingi Elegi Sepi. Adakah anda tertekan setiap kali merakamkan lagu baharu?

Saya akui lagu Elegi Sepi begitu kuat dan masih diingati sehingga kini. Ia merupakan lagu cari makan dan lagu itu juga yang sering diminta oleh peminat ketika saya membuat persembahan pentas. Namun, sebagai penyanyi, saya tidak boleh tersekat dan terperangkap pada takuk lama, lebih-lebih lagi apabila sedang merakamkan single baharu. Menjadi hit atau tidak, itu soal rezeki dan ketentuan Allah.

Apakah harapan anda selepas album ini dilancarkan pada tahun hadapan?

Saya sedar bahawa lagu-lagu artis seusia saya yang lain agak sukar untuk dimainkan di radio. Jadi, saya berharap agar lagu baharu ini akan dimainkan radio dan seterusnya diterima oleh khalayak.

Selain wang tunai RM100,000, anda juga dijanjikan sebuah single baharu terbitan Astro sebagai hadiah kemenangan. Adakah lagu tersebut akan dimasukkan sekali dalam album terbaharu anda?

Lagu kemenangan Gegar Vaganza masih belum dipilih memandangkan perjanjian rakaman lagu ditandatangani baru-baru ini. Bagaimanapun, ia tidak akan dimasukkan ke dalam album sebaliknya hanya menjadi projek single yang berlainan selepas album saya dipasarkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post