Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui tidak mudah bagi seseorang penyanyi mendapat perhatian menerusi sesebuah lagu jika tidak menepati cita rasa pencinta muzik. Nabila berpendapat, gimik atau ‘prank’ sahaja tidak cukup untuk melariskan lagu, sebaliknya, perlu diseimbangkan dengan muzik dan lirik berkualiti.
Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ke-10 itu berkata demikian ketika ditemui selepas rakaman program The Stage Media Hiburan baru-baru ini.
“Saya sedar dalam ramai yang suka, masih ada yang mengecam. Misalnya kata saya menipu peminat. Sudah tentulah sebelum melakukan gimik itu untuk lagu Pematah Hati, saya sudah fikir semasak-masaknya kalau tidak menjadi, nama saya juga yang tercemar.
“Jadi bila berbincang bersama pihak pengurusan dan saya sendiri faham niat dan tujuan dilakukan, barulah saya bersetuju. Kalau nak lakukan gimik pun, biarlah ada tujuan dan niat itu betul. Gimik saja pun belum cukup untuk melariskan lagu. Tapi, kalau ada pihak yang terasa hati, saya mohon maaf,” katanya kepada Hiburan Sinar.
Ditanya adakah dia bimbang atau takut dengan kecaman, figura berusia 25 tahun ini nyata optimis dan positif.
“Pada peringkat awal, ada juga rasa bimbang, tapi mengenangkan niat kami untuk menjelaskan maksud di balik lagu tersebut, jadi saya ok saja.
“Alhamdulillah, kebanyakan peminat sudah mula faham dan menerima Pematah Hati dengan baik. Itu yang membuatkan saya rasa gembira,” akui Nabila yang sebelum ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Matahari Cerah Lagi untuk tayangan RTM.
Selain Nabila, drama adaptasi novel terbitan Global Station itu turut dijayakan Fadlan Hazim, Wan Raja, Sharifah Shahora dan ramai lagi.
“Kalau nak diikutkan, saya masih lagi mahu fokus dalam lakonan.
“Cuma buat masa sekarang, rasanya lebih baik saya tumpukan perhatian kepada promosi lagu Pematah Hati kerana sebelum ini, saya terpaksa curi-curi masa untuk promo kepada komitmen terhadap lakonan.
"Tawaran lakonan lain masih lagi ada, cuma saya masih di peringkat perbincangan dengan pihak berkenaan,” jelasnya lagi.