Mia masih mengunci mulut mengenai keguguran yang dialaminya pada awal bulan Disember lalu.
Pelakon Mia Ahmad masih tetap dengan pendirian enggan berkongsi lebih lanjut mengenai keguguran dialaminya pada awal Disember lalu.
Mia atau Samihah Ahmad Baderi, 29, berkata dia tidak lagi bersedih dengan apa yang berlaku kerana menganggap ia ketentuan Illahi.
"Saya tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai keguguran itu sebab ia kali pertama terjadi dalam hidup saya.
"Apa yang saya boleh katakan, saya tidak lagi bersedih dan reda dengan takdir yang sudah tertulis buat saya.
"Buat masa ini, saya nak berehat sahaja. Nak jaga makan dan jaga badan saya supaya bertenaga semula," kata Mia kepada mStar Online.
Mia ditemui di malam Anugerah Telenovela yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.
Mia dan berkahwin dengan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) Izham Tarmizi berkahwin pada 13 Januari lalu di Taiping, Perak.
Menurut Mia lagi, dia juga menjalani proses berpantang selama 20 hari seperti wanita lain yang keguguran.
Namun, dia memilih untuk tidak berkongsi keadaannya ketika itu pada umum kerana takut nanti ada segelintir pihak mempertikaikan.
"Saya juga melalui proses berpantang seperti wanita lain yang mengalami keguguran. Saya banyak tanya pada ibu dan mertua cara untuk jalani proses itu.
"Selama 20 hari saya berpantang. Tapi orang tak tahu sebab saya memang tak berkongsi apa-apa di laman sosial.
"Takut nanti kalau letak gambar pakai stoking atau kapsyen sedang berpantang, ada yang mempertikaikan pula," katanya.
Mia Ahmad Sahkan Keguguran
Menerusi laporan pada 9 Disember lalu, Mia mengesahkan dia mengalami keguguran namun tidak bersedia untuk berkongsi dengan umum tentang perkara itu.
Mia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Telenovela 2017. Foto LOW BOON TAT.
Dalam perkembangan lain, Mia bersyukur akhirnya dia dapat membuktikan kesungguhannya dalam lakonan apabila memenangi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Telenovela 2017.
Kata Mia, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan netizen yang akan mempertikaikan kemenangannya itu.
"Kemenangan ini antara salah satu bukti saya berusaha keras dalam lakonan. Biarpun pada awalnya, menerima kritikan banyak.
"Segala kritikan itu sebagai membakar semangat saya untuk perbaiki lakonan saya lagi. Saya tahu, selepas ini pasti akan ada yang mempertikaikan anugerah ini.
"Tapi saya sudah bersedia dengan semua itu. Biasalah, orang akan nampak kesalahan kita sahaja biar macam mana banyak pun kejayaan yang kita dapat," katanya.